Sabtu, 26 Julai 2014

Mahkamah Tinggi benar permohonan Indira

MALAYSIAKINI


 


Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini membenarkan permohonan M Indira Gandhyi untuk mendapatkan arahan menyekat Mahkamah Syariah dalam kes hak jagaan ke atas anaknya.

"Mahkamah memberi (kebenaran mendapatkan) arahan untuk menyekat atau menghalang pelaksanaan arahan Mahkamah Syariah,” kata MP Ipoh Barat M Kulasegaran, yang bertindak sebagai peguam Indira dalam satu kenyataan hari ini.

Indira pada 2010 mendapat hak jagaan ke atas anak perempuannya di Mahkamah Tinggi Ipoh namun belum dapat disatukan dengan kanak-kanak tersebut kerana bekas suaminya, yang memeluk Islam, enggan mematuhi arahan dan polis juga enggan bertindak.

Suaminya Mohd Ridzuan Abdullah @ K Pathmanaban, menukar agama anak tersebut kepada Islam tanpa pengetahuan beliau dan memperolehi hak jagaan di Mahkamah Syariah.

Polis enggan bertindak kerana Mahkamah Tinggi memberi hak jagaan kepada ibu dan Mahkamah Syariah pula kepada bapa.

Kebenaran untuk mendapatkan arahan sekatan itu diberikan bersama dengan kebenaran mendapatkan arahan mandamus ke atas Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Ahmad.

Kulasegaran berkata arahan mandamus itu bagi mengarahkan ketua polis negara menguatkuasa waran tangkap oleh mahkamah ke atas bekas suami Indira.

Katanya, pasukan guamannya akan mengusahakan perkara itu secepat mungkin.

Beliau menganggap keputusan Mahkamah Tinggi itu sebagai keputusan penting, yang akan memberi kesan yang meluas.

Tiada ulasan: