Ahad, 27 Julai 2014

Penerbangan Terakhir Guna Nombor Penerbangan MH17 Selamat Mendarat Di KLIA

Pesawat MAS, laluan Amsterdam-Kuala Lumpur yang menggunakan nombor penerbangan MH17 buat kali terakhir selamat mendarat di KLIA, Jumaat.
 
Oleh: DINA MURAD 
 
 
SEPANG: Perasaan pahit bercampur manis apabila penerbangan MH17 yang digunakan buat kali terakhir mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 6.31 pagi, Jumaat.

Penumpang Malaysia, Nurulhuda Abdul Hadi, 26, agak bimbang sebelum berlepas tetapi meyakinkan dirinya dengan berdoa sendirian sebelum berlepas.

"Ia (penerbangan) sangat tenang. Sebelum saya menaiki kapal terbang, saya berdoa dan semuanya berjalan dengan baik sekali," kata Nurulhuda yang menambah bahawa penerbangan itu penuh dengan penumpang.

"Saya agak terkejut sebenarnya. Saya fikir orang ramai akan membatalkan penerbangan," katanya.

Walaupun tragedi berganda menimpa MH370 dan MH17, Nurulhuda berkata dia pasti akan terbang lagi bersama MAS.

"Ia adalah salah sebuah syarikat penerbangan yang terbaik dan saya tidak mengatakannya kerana saya dari Malaysia, tetapi kerana ia adalah yang paling selesa (syarikat penerbangan)," katanya yang banyak melakukan pemerhatian dan menggesa orang lain supaya percaya dengan takdir dan ketentuan.

Naqeeb Yusuf, 25, yang bekerja di Belanda, mengambil penerbangan MH17 yang terakhir untuk pulang beraya bersama keluarganya.

"Saya kerap terbang dengan MAS dan saya berasa cukup tenang, terutama hari ini, tetapi saya lebih rasa kecewa dengan tragedi yang berlaku kepada Malaysia Airlines," katanya.

Dia juga melahirkan keyakinan untuk terus mengambil penerbangan MAS pada masa akan datang.

Bill Smidt, 84, dan isterinya Jenny, 74, menceritakan pengalaman santai mereka menerusi penerbangan terakhir MH17, walaupun terdapat beberapa kebimbangan awal di kalangan penumpang.

"Ketika menaiki pesawat, seorang wanita jelas agak cemas. Suaminya memegang dan memeluknya. Selain itu, semua orang nampak santai," kata Jenny di balai ketibaan.

Dia berkata, sentiasa terdapat tahap kebimbangan yang tinggi apabila terbang, tetapi risiko dianggap bernilai apabila ia bertujuan melawat ahli keluarga.

"Ia salah satu daripada perkara-perkara yang difikirkan. Kemalangan adalah sukar dipercayai, tetapi apabila anda perlu terbang, anda tetap perlu melakukannya," katanya.

Pasangan itu berkata mereka akan terus terbang dengan Malaysia Airlines.

"Kami rasa bukan salah MAS apabila pesawat telah ditembak jatuh. Kami telah terbang dengan mereka sebelum ini dan sangat gembira dengan layanan yang kami terima.

"Sudah tentu, terdapat pelbagai emosi apabila kami meninggalkan Lapangan Terbang di Amsterdam. Terdapat banyak patung beruang dan belon untuk mangsa," kata Smidt.

Gillian Clark berkata dia juga agak gelisah apabila menaiki penerbangan itu tetapi memandangkan dia tinggal di New Zealand, dia tidak mempunyai pilihan melainkan mengambil penerbangan yang panjang.

"Semua orang tenang. Anak-anak kapal juga prihatin dan juruterbang berkata mereka mengelak lalu di Ukraine dan ia adalah baik. Tidak ada masalah sama sekali. Semua orang sangat tenang dan saling menghormati, "katanya.

Gillian juga mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa di atas pesawat MH17 yang telah ditembak jatuh di ruang udara Ukraine pada 17 Julai.

"Ia benar-benar tragis. Saya fikir ia adalah perkara yang amat dahsyat dan saya fikir Malaysia Airlines hanya bernasib malang. Saya bersimpati kepada mereka (mangsa), "katanya.

Nombor penerbangan bagi penerbangan harian laluan Amsterdam-Kuala Lumpur kini ditukar kepada MH19, tetapi penerbangan akan beroperasi pada frekuensi yang sama seperti dahulu.

Tiada ulasan: