Ahad, 27 Julai 2014

Daftar OKU untuk elak pengabaian

MALAYSIAKINI


 


Ibu bapa atau penjaga diseru mendaftarkan anak-anak Orang Kurang Upaya (OKU) dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan golongan itu tidak diabaikan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata mereka yang berdaftar dengan JKM akan diberikan Kad OKU bagi membolehkan mereka menikmati 25 jenis kemudahan disediakan oleh kerajaan.

Antaranya rawatan perubatan percuma, pengecualian duti import bagi membeli peralatan sokongan, elaun RM50 sebulan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah daripada Kementerian Pendidikan serta pengecualian cukai jalan, katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Rohani berkata bagaimanapun saringan akan dibuat ke atas setiap permohonan bantuan peruntukan bulanan OKU untuk memastikan mereka yang benar-benar layak sahaja mendapat bantuan bulanan berkenaan.

"Tetapi sekiranya ada yang berkata bantuan JKM ada yang ditarik balik kita tengok keadaan. Misalnya EPC (Elaun Pekerja Cacat) yang mana pendapatan pemohon hendaklah tidak melebihi RM1,200 sebulan tidak temasuk pendapatan keluarga.

"Apabila pendapatan OKU ini sudah melebihi RM1,200 dia sudah tidak layak untuk mendapat EPC dan ini akan membuka ruang lagi kepada OKU lain yang lebih layak mendapat bantuan bulanan EPC sebanyak RM300 ini," katanya

Justeru, Rohani berharap selain ibu bapa atau penjaga, pemimpin masyarakat, komuniti setempat, badan bukan kerajaan (NGO) NGO atau individu boleh membantu golongan OKU mendaftar dengan JKM di kawasan masing-masing.

Rohani berkata kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan lain dengan JKM amat diperlukan dalam usaha membantu menyediakan perkhidmatan bagi meningkatkan kesejahteraan golongan OKU.

Mengulas mengenai dakwaan pegawai JKM tidak membuat kerja sebaik mungkin membantu golongan OKU, Rohani berkata dakwaan itu tidak tepat sekali.

"Sudah tentunya pegawai kebajikan menggalas tanggungjawab yang penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan berkesan," katanya.

Rohani berkata sekiranya dibuat perbandingan jumlah golongan sasar yang memerlukan perkhidmatan JKM dengan bilangan kakitangan JKM sememangnya tidak mencukupi memandangkan seorang Pegawai Kebajikan Masyarakat perlu mengendalikan antara 300 kes sehingga 1,000 kes.

Beliau berkata masyarakat tidak boleh menuding jari terhadap JKM semata-mata sebaliknya tampil membuat sebarang aduan dan memberi cadangan untuk kementeriannya ambil perhatian bagi memperbaiki mutu perkhidmatan.- Bernama

Tiada ulasan: