Rabu, 9 April 2014

Wan Azizah guna sidang DUN bela suami

Post Pic
Oleh Shawaliah Hadir
SHAH ALAM: ADUN Kajang yang baharu, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menggunakan kesempatan berbahas di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini untuk membela suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
Presiden PKR itu ketika perbahasan menjunjung titah Sultan Selangor, menyifatkan seteru politik UMNO-Barisan Nasional (BN) sebagai obses kepada Anwar sehinggakan seringkali menyebut nama Ketua Umum PKR itu untuk dikritik.
 
Sebaliknya, Wan Azizah yang juga Presiden PKR, memuji kecekapan dan sumbangan Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Selangor hingga berjaya meningkatkan unjuran pertumbuhan ekonomi negeri itu.
 
"Saya kurang faham obsesi Anwar Ibrahim dalam UMNO, di mana-mana cakap pasal Anwar Ibrahim.
 
"Macam tidak boleh tidak cakap tentang Anwar Ibrahim.
 
“Semenjak Anwar Ibrahim dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Selangor, ekonomi di Selangor telah meningkat sebanyak 6.1 peratus. Inilah sumbangan penasihat ekonomi.
 
“Dalam pada masa yang sama, telah membantu untuk meningkat ekonomi negara juga,” katanya.
 
Wan Azizah menambah, dengan adanya Anwar Ibrahim sebagai penasihat maka negeri yang ditadbir oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu kekal sebagai penyumbang terbesar terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, iaitu sebanyak 23.5 peratus.
 
Beliau turut menggunakan sidang DUN sebagai platform untuk menangkis dakwaan Anwar memperlekehkan usaha Kerajaan Persekutuan dalam usaha mencari pesawat MH370 yang hilang 8 Mac lalu.
 
Jelasnya, tindakan suaminya memberi reaksi tentang kehilangan pesawat itu adalah kerana mendapat jemputan untuk diwawancara oleh media asing.
 
"Kalau mula-mula kita melihat bagaimana reaksi kerajaan apabila tragedi MH370 berlaku, itu yang menjadi tanda tanya. Percanggahan fakta-fakta yang telah diberikan," katanya.
 
Wan Azizah kemudiannya memperlekehkan tanggungjawab dan kredibiliti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyampaikan maklumat kepada wartawan tentang perkembangan usaha mencari dan menyelamat pesawat tersebut.
 
"Kalau dibandingkan dengan Perdana Menteri, dia memanggil sidang media dan juga tidak menjawab soalan," katanya.

Tiada ulasan: