Dari kiri Syed Rahman, Andansura, Lee, Fauzi dan Ali dalam sidang media di Semambu.
HELMI IBRAHIM
KUANTAN: Kejadian tumpahan bahan kimia milik Lynas di Km 149 dekat Sungai Kepong, Lanchang 28 Mac lalu menimbulkan pelbagai persoalan baru tentang operasi kilang memproses nadir bumi Lynas dan sejauh mana kilang tersebut mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa.
Kerisauan ini dibangkitkan wakil rakyat, parti politik dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) dalam satu sidang media di Pejabat PKR Semambu, baru-baru ini.
Dua aspek penting yang gagal dipatuhi Lynas ekoran insiden tersebut adalah penyampaian maklumat dan keselamatan pengangkutan.
Insiden ini juga menyerlahkan kegagalan agensi kerajaan yang bertanggungjawab mengawasi dan memantau perjalanan operasi syarikat tersebut.
Antara yang hadir pada sidang media itu ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota, Dato’ Fauzi Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah, Andansura Rabu, Adun Semambu, Lee Chean Chun, wakil PAS Pahang, Syed Abdul Rahman Syed Hussin, Pengerusi Stop Lynas Coalition (SLC), Ali Akbar dan Pengarah Pusat Khidmat Dun Beserah, Mahmud Yaakub.
Menurut Andansura, ketika kejadian berlaku, Lynas tidak membuat sebarang pengumuman dan berita berhubung kejadian itu hanya memetik kenyataan Ketua Polis Temerloh dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Polis dan menteri terbabit hanya memaklumkan bahawa bahan kimia yang tumpah tidak merbahaya tetapi boleh mengakibatkan kegatalan jika terkena kulit.
Apa yang dikesalkan, ujar Andansura tiada sebarang kenyataan dikeluarkan Lynas dan agensi terbabit bagi meredakan kerisauan penduduk setempat yang tinggal berhampiran kilang tersebut.
"Sepatutnya sebaik sahaja insiden tersebut berlaku, Lynas dan agensi terlibat mestilah membuat sidang media serta-merta untuk memaklumkan insiden yang berlaku dan apa yang perlu di buat oleh penduduk di sekitar tempat kejadian," tambahnya.
Tindakan menutup jalan utama ke Lanchang sejauh 1 kilometer dari jam 9 pagi hingga 2 petang turut menimbulkan kekecohan dan kerumitan kepada orang awam bukan sahaja di sekitar kilang Lynas bahkan kepada pengguna jalan raya.
"Tinjauan sehingga jam 1.00 tengahari, 30 Mac pada laman-laman web rasmi Lynas dan agensi terbabit juga gagal menemukan sebarang makluman dan penjelasan berhubung insiden itu," kata Andansura.
Beliau mengingatkan Lynas dan agensi terbabit berhubung Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Projek Lynas Advanced Material Plant (LAMP) iaitu pada Section E (muka surat 58) No. 18. 4 (c & d), berhubung tanggungjawab sebenar Lynas iaitu:
# Menyediakan secara rutin semua maklumat yang berkaitan dengan keselamatan LAMP dan memastikan bahawa orang awam tahu bagaimana untuk mendapat akses kepada maklumat ini; dan
# Lynas sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap keselamatan LAMP perlu digesa untuk meningkatkan komunikasi dengan pihak-pihak berkepentingan untuk menunjukkan bagaimana syarikat memastikan keselamatan radiologi dan alam sekitar.
"Jelas Lynas dan agensi yang terlibat gagal untuk mematuhi tuntutan yang di kemukakan oleh pihak kerajaan sendiri apatah lagi jauh untuk menepati kehendak sebenar penduduk sekitar kilang tersebut," tegas beliau.
Dalam aspek keselamatan pengangkutan, Andansura mempersoalkan kewajaran treler tersebut menggunakan jalan lama berbanding Lebuhraya Pantai Timur (LPT).
"Pertimbangan apakah yang di buat pengurusan Lynas dalam menentukan perkara ini? Adakah keuntungan sedikit di sebabkan Lynas sedang di himpit kerugian melampau maka keselamatan pengguna jalanraya serta penduduk sepanjang jalan kampung tersebut menjadi taruhan?" soal beliau.
Beliau mengingatkan Lynas supaya tidak berlepas tangan dalam isu ini dan hanya menyalahkan pemandu yang dituduh cuai.
"Sekiranya Lynas bertanggungjawab sudah tentulah semua kenderaan yang mengangkut bahan kimia mereka di mestikan melalui LPT yang jauh lebih selamat dan mempunyai pasukan yang mampu bertindak pantas sekiranya berlaku sesuatu kemalangan.
"Alasan mungkin pemandu menipu laluan ataupun barangan mereka bukan bahan merbahaya tidak layak dan tidak terpakai untuk Lynas dengan kontroversi yang melingkari mereka," ujarnya.
Andansura menasihati Lynas supaya mempelajari prosedur operasi standard (SOP) sebuah kilang barangan tekstil di Gebeng yang mewajibkan semua lori yang membawa bahan siap mereka melalui LPT dan menyediakan pasukan khas yang mengawasi dan mengaudit perjalanan lori-lori tersebut.
"Di manakah standard dunia yang di canangkan oleh Lynas dan kerajaan selama ini?" katanya.
Pemandu treler juga, tambah Andansura tidak di bekali dengan maklumat yang cukup berhubung keterangan barangan yang di bawa dan tindakan yang perlu di lakukan sekiranya berlaku kemalangan.
Kegagalan ini, katanya mengakibatkan pihak berkuasa terpaksa menunggu sehingga 5 jam untuk memberikan bantuan yang sewajarnya dan keadaan pasti menjadi parah jika ia melibatkan kecederaan ataupun kematian orang awam.
"Jelaslah kini bahawa segala kebimbangan kita selama ini sememangnya semakin nyata dan mereka yang bertanggungjawab tidak pernah belajar dari kesilapan lalu. Mereka hanya menyalahkan orang awam yang berjuang untuk kebaikan rakyat dan negara," katanya kesal.
Sehubungan itu, beliau menuntut satu siasatan terbuka dan telus terhadap insiden ini dibuat dan Lynas harus menghentikan operasinya serta-merta sehingga peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa dipatuhi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan