Sabtu, 5 April 2014

Terjah hati orang Umno melalui ICT

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR 


IPOH: Era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ketika ini perlu diambil kesempatan untuk menarik sokongan masyarakat kepada PAS.

Pengerusi Lajnah Teknologi Maklumat PAS Pusat, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, PAS perlu memperalatkan teknologi baru yang sedang menguasai dunia ini untuk menerjah hati masyarakat khususnya orang Umno.

Menurutnya, PAS perlu terkehadapan dalam penguasaan ICT dan mengurusnya secara sistematik dan strategik agar ia benar-benar berkesaan untuk taut hati golongan sasaran.

"PAS perlu peralatkan ICT untuk menerjah hati sasaran kita iaitu orang Umno, ini adalah satu lagi platform yang perlu PAS gunakan bagi mencapai sasaran parti.

"Penglibatan dan penguasaan dalam bidang ICT ini juga akan lebih memberangsangkan PAS," katanya ketika merasmikan Retreat Lajnah Teknologi Maklumat PAS Perak di Hotel Seri Malaysia dekat sini hari ini.

Mohammad Nizar menjelaskan, semua kelompok sama ada muslimat, pemuda mahupun ulama perlu celik dan mempertingkatkan kemahiran dalam bidang tersebut.

PAS katanya boleh menggunakan IT untuk mendekatkan parti dengan semua lapisan masyarakat terutama golongan muda yang sangat dekat dengan teknologi baru ini.

Retreat tersebut telah dikendalikan oleh Jabatan IT PAS Pusat yang diketui oleh Pengarahnya, Suhaimi Embong dan Setiausaha, Ahmad Jamalie Sefihi.

Ianya bertujuan untuk membincangkan dan mengenalpasti hala tuju lajnah tersebut bagi sesi 2013 hingga 2015 dalam usaha memenangi Pilihan Raya Umum ke- 14 (PRU14) kelak.

Tiada ulasan: