Rabu, 23 April 2014

Pemimpin PKR Akan Dipanggil Jawab Tuduhan Salah Laku Berkempen

alt
 
Mahirah Zakaria 
 
 
KUALA LUMPUR - Beberapa pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan dipangil oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) parti atas tuduhan salah laku dalam kempen sempena pemilihan pada Mei akan datang.
 
Pengerusinya,  Datuk Johari Abdul berkata, pemimpin PKR yang didakwa akan dipanggil untuk menjawab pertuduhan ke atas mereka hari ini.
 
"Kita akan dengar beberapa rayuan dan aduan berkenaan beberapa pelanggaran (peraturan pemilihan) termasuk terhadap pimpinan tertinggi (23 April).
 
“Tidak adil untuk menamakan individu itu sebelum beliau mempertahankan diri di depan jawatankuasa," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini semalam.
 
Pada 16 April lalu, Johari mengumumkan dua calon timbalan presiden Mohamed Azmin Ali dan Datuk Saifuddin Nasution Ismail akan dipanggil untuk memberi penjelasan berhubung kenyataan masing-masing.
 
Johari berkata jawatankuasa tersebut akan melihat kenyataan Saifuddin yang menimbulkan dakwaan mengenai persengketaan antara Azmin dan seorang lagi calon timbalan presiden, Tan Sri Khalid Ibrahim.
 
JPP juga merujuk kepada kenyataan Azmin dalam satu laporan stesen TV3, yang menafikan dakwaan Saifuddin bahawa PKR adalah parti berasaskan Melayu.

Tiada ulasan: