Seorang pelajar tahfiz Sekolah Menengah Agama (SMA) As Siddiqiah Al
Islamiah, Naka dekat Kuala Nerang, Kedah meninggal dunia selepas makan
mi segera malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu Mohamad Daud Shariff, 18,
sebelum itu dikatakan makan mi segera sebelum tidur di bilik asrama
bersama beberapa rakan yang lain.
Rakan mangsa, Mohamad Hisham Zainol, 17, berkata sebelum itu mereka
terdengar bunyi dengkuran kuat dan menganggap ia perkara biasa kerana
semua pelajar keletihan setelah bermain bola pada sebelah petang.
Katanya, mereka hanya mengetahui kejadian itu selepas guru mereka yang
melakukan rondaan terdengar bunyi dengkuran yang kuat dan memeriksa
bilik itu.
"Sebaik lampu asrama dihidupkan ternampak mulut arwah sudah berbuih dan
mi segera yang dimakannya sebelum itu turut terkeluar. Kami cuba
panggil nama dia beberapa kali tetapi dia tidak bergerak," katanya.
Sementara itu, Pengetua SMA As Siddiqiah Al Islamiah, Mohd Sidek Junus,
berkata mangsa dibawa ke Hospital Kuala Nerang untuk mendapatkan
rawatan kecemasan tetapi disahkan meninggal dunia ketika tiba di sana.
Katanya, mangsa berasal dari Kampung Kuala Beris, Sik menuntut di
sekolah itu sejak tiga tahun lalu dalam pengajian tahfiz sejak berusia
15 tahun.
Beliau berkata, allahyarham seorang pelajar yang baik dan aktif dan
sepanjang belajar di sekolah itu beliau tidak pernah mengalami sebarang
penyakit serius.
Ketua Polis Padang Terap, DSP Ku Yaacob Ku Hamad ketika dihubungi
berkata pihaknya mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut. –
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan