Sabtu, 12 April 2014

Pagi keluar rumah, petang rumah dirobohkan

MALAYSIAKINI

 
 
Seorang pesara mendapati rumah yang diduduki tiga generasi keluarganya dirobohkan dalam masa kurang dari 5 jam beliau keluar dari rumah itu.
 
Kejadian itu menimpa M Irdiahsamy, 73, penduduk Kampung Retnampillai, Sentul Pasar pada 3 Disember lalu.
 
Beliau keluar rumah sekitar jam 10 pagi dan mendapati rumahnya dirobohkan pada jam 3.30 petang apabila pulang ke rumah.
 
Sebulan sebelum itu, seorang lagi penduduk, P Subramaniam, 50 tahun turut mengalami nasib sama apabila rumahnya dirobohkan pada sekitar jam 6.30 pagi, 22 November tahun lalu sewaktu beliau tiada di rumah.
 
Dua buah rumah itu sebahagian daripada kisah sedih empat buah rumah didakwa dirobohkan dengan cara hampir sama apabila setinggan tersebut akan dimajukan menjadi tapak tiga blok pangsapuri.
 
Jurucakap penduduk, P Thanabala yang rumahnya juga dirobohkan pada November 2013 mendakwa wakil syarikat pemilik tanah mengaku merobohkan rumah mereka dalam satu pertemuan yang turut disertai  seorang pegawai polis dan wakil sebuah parti politik.
 
Perkara itu dinyatakan dalam laporan polis terbarunya kelmarin.
 
Thanabala mempertikaikan cara rumah mereka dirobohkan selepas mereka enggan menerima pampasan RM18,000 bagi setiap rumah yang ditawarkan pemaju.
 
Sementara itu, beliau juga mendakwa mereka berterusan diganggu sekumpulan lelaki yang disifatkannya ala gangster yang kerap hadir dalam jumlah ramai untuk menggesa mereka berpindah.
 
"Kita takut bila kita keluar rumah, gangster roboh rumah. Tapi polis tak nak tangkap, bolehkah macam itu?" kata Thanabala.
 
Beliau juga kesal kerana gangguan itu berlaku ketika perbincangan dengan pemaju masih berterusan. 
 
Tiga belas keluarga yang masih bertahan menuntut pampasan dalam bentuk rumah kos rendah atau sederhana untuk setiap keluarga.
 
Jika perkara itu tidak dapat diberikan, mereka mahukan diberi keutamaan untuk membeli rumah kos rendah di di kawasan KTM Village, juga di ibu negara, memandangkan semua bekas pekerja syarikat kereta api itu.
 
Perkara itu menurut Thanabala pernah dimajukan secara bertulis kepada Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Loga Bala Mohan.
 
Tian Chua selar 'provokasi; supaya polis bertindak
 
Sementara itu, MP Batu, Tian Chua yang melawat kawasan itu hari ini menyuarakan kekesalannya terhadap pasukan polis yang menurutnya tidak bertindak mencegah gangguan terhadap penduduk.
 
"Biasanya sikap polis, mereka akan bertindak bila ada perintah mahkamah. Selagi tak ada kekerasan, mereka tak akan bertindak.
 
"Bagi saya, sesiapa sahaja yang datang bagi pihak kontaktor atau pemaju mereka hendak lakukan provokasi supaya penduduk ambil tindakan kekerasan, supaya (akhirnya) polis boleh bertindak.
 
"Dia (polis) hanya boleh bertindak kalau penduduk bertindak secara kekerasan" kata Tian Chua sewaktu ditemui bersama penduduk kampung itu, hari ini.
 
Oktober tahun lalu, 40 orang penduduk kampung itu telah ke Jabatan Perdana Menteri untuk memohon campur tangan Datuk Seri Najib Razak dalam perkara itu.

Tiada ulasan: