Jumaat, 18 April 2014

Mengikut jejak Sang Harimau



Oleh Izmil Amri

MATAHARI seakan tidak terbit di langit Kuala Lumpur hari ini. Mendung pagi seolah-olah memberi isyarat bahawa jam di dinding sedang menipu, dan langit yang gelap dan suram itu bagaikan sedang berduka. Titis-titis hujan yang terpercik ke cermin tingkap bilik bagaikan air mata. Di sisi katil saya duduk termangu dengan ingatan yang belum pudar sejak kejadian semalam.

Jarang sekali saya begitu terkesan dengan kematian. Kecuali dalam hal pemergian ahli keluarga terdekat, saya sukar merasa hiba. Maka rasa berat yang merundung rongga dada ini sejak lebih dua puluh empat jam lalu ibarat petanda bahawa ada ruang yang begitu besar, kelompangan yang begitu susah untuk diisi.

Demikian hebat sosok yang bergelar Harimau Jelutong itu sehinggakan saya yang tidak ada kena-mengena ini merasakan kehilangan yang sangat luar biasa. Bagaikan tercabut nafas seketika waktu berita itu saya terima, lalu bergegas mendapatkan pengesahan.

Kicauan twitter mengatakan ‘Confirmed. The Tiger of Jelutong is no longer with us,’ saya tulis dengan hati yang cukup berat. Susur-masa laman sosial itu kemudian bergerak laju dengan kicauan simpati dan terkejut tentang hal itu. Tulisan demi tulisan meluahkan rasa sedih, tidak kurang yang tenang menerima takdir seraya menyebutkan hal yang baik-baik tentang mendiang. Ternyata sang harimau telah banyak meninggalkan kesan dalam kehidupan ramai orang.

Ya, harimau mati meninggalkan belang. Manusia mati meninggalkan nama. Namun harimau nan seorang ini meninggalkan lebih dari sekadar nama dan belang sebagai legasi sosok pemimpin politik dan peguam ulung yang menjadi lagenda zaman-berzaman. Sepertimana banyak harimau lain yang menyusur denai di hutan, bekas tapak kakinya itu pasti menjadi ikutan bagi yang berani, atau dijauhi mereka yang tidak mahu bertemu mata dengannya.

Baru sahaja seminggu sang harimau mengaum di Parlimen. Dua puluh satu tahun lamanya sang harimau dirujuk sebagai ‘Jelutong’; kawasan Parlimen saya di Pulau Pinang. Setelah sekian banyak ngaumannya mendiamkan rakan dan lawan yang berucap di dewan itu, Khamis 10 April lalu adalah kali terakhir Speaker Dewan merujuknya dengan nama kawasan Parlimennya, Bukit Gelugor.

Dalam ucapan itu, Bukit Gelugor diminta speaker untuk membantunya dalam hal usul mempertikai kredibiliti beberapa orang hakim sepertimana yang dibenarkan Perlembagaan Persekutuan. Jadi Bukit Gelugor, meski terpasung ke kerusi roda dan tiada boleh banyak bergerak lantang sahaja bersuara ‘Tuan Speaker jangan main-main dengan Perlembagaan’.

Itu pesannya yang terakhir kepada Parlimen Malaysia, supaya jangan main-main. Pesanan ini juga terpakai kepada sekalian yang mahu menjadi sepertinya, seorang pembela nasib rakyat dan suara lantang marhaen yang dipinggir pembangunan.

Namanya itu jadi sebutan orang, sebagai peguam yang handal, ahli politik yang tegas dan berani. Ini semua orang tahu. Kita tahu ini dari cakap-cakap orang ramai yang mendengar tentangnya dari mulut orang lain yang barangkali mendapat khabar dari sahabat handai mereka pula. Namanya itu sahaja sudah cukup untuk membuat kita menoleh dan mencuri dengar apa yang sedang dibualkan tentangnya.

Tidak kurang juga kita mendengar cemuhan tentang beliau. Ini kelaziman dan lumrah seorang figura politik yang sedemikian hebat. Hatta sehingga habis nyawa pun masih ada yang tidak puas hati dan melontarkan kata-kata kesat kepadanya. Begitu hebat sekali kesan yang dibawa oleh beliau sehinggakan musuh-musuhnya itu begitu obses dan sentiasa melompat apabila disebut sahaja namanya itu.

Namanya itu dihafal banyak anak muda mahasiswa yang menadah kitab-kitab undang-undang.
Sebagai peguam tersohor, namanya itu melekat dalam laporan-laporan kes berprofil tinggi dan menjadi rujukan peguam-peguam muda serta hakim-hakim bergelar yang arif. Sewaktu proses mitigasi kes hasutannya di mahkamah lebih sebulan lalu, anaknya yang juga peguamnya mengambil masa hampir sepuluh minit untuk membacakan senarai kes berprofil tinggi yang berpemberat namanya sahaja.

Itulah dia Karpal Singh; Pengerusi Kebangsaan DAP yang meletakkan jawatannya sebagai tanda kepatuhan kepada undang-undang yang menghalangnya memegang jawatan setelah disabit kesalahan di bawah Akta Hasutan. Hebat sosok ini, yang pada 73 tahun usia pun masih dipandang sebagai satu ancaman kepada pemerintah, dan kata-katanya dikira boleh menggugat kedudukan penguasa.

Karpal Singh, meski putih janggutnya itu menambahkan lagi ciri harimaunya, bukanlah sebengis yang disangka. Harimau nan satu ini lembut hati dan mudah tersenyum, dan menyambut celaan dan cabaran dengan dada yang lapang dan manis muka. Karpal Singh, insan yang benar pada kata-kata dan berkata-kata dengan benar, insan yang membahasakan orang lain sebagai ‘kawan-kawan’.

Sudah sampai masanya barangkali untuk ‘kawan-kawan’ Karpal terus bergerak maju dan mengisi kekosongan yang telah beliau tinggalkan. Jejak sang harimau adalah untuk diikuti mereka yang berani. Satu Karpal pergi, seribu Karpal akan bangkit berdiri.

Terima kasih Saudara, atas segala jasa. Berehatlah dengan aman, tenang-tenanglah di sana. – Roketkini.com

Tiada ulasan: