Jumaat, 25 April 2014

Kuala Lumpur dikawal ketat ketika Obama datang berkunjung



Oleh V Shuman


Presiden Amerika Syarikat Barack Obama bakal tiba dan Kuala Lumpur sudah tentu di kawal ketat -- jalan raya ditutup, pergerakan orang-ramai dipantau sehingga sukar bagi pejalan kaki dan lalulintas bergerak, tetapi tidakkah pemandu teksi dan penjaja meluahkan kekecewaan? 

Warga kota -- bertabahlah menghadapi hujung minggu yang dipenuhi anggota polis yang bertugas menjamin keselamatan ketika manusia paling berpengaruh di dunia menjenguk kita. Bandaraya KL di dalam kawalan ketat pihak berkuasa. Apa maknanya?

Obama ialah pemimpin yang paling dikawal ketat kerana ancaman pihak pengganas dan ektremis.

Presiden itu dijangka tiba dengan pesawat rasmi Boeing 747-200B yang digelar “Air Force One” di pengkalan Tentera Udara DiRaja Malaysia Subang pada tengahari Sabtu.

Obama bakal dibawa menaiki limousine berperisai Cadillac One atau The Beast, dan akan diiringi ke mana-mana dengan pasukan pengiring bermotor serta polis trafik kita.

Kemana sahaja dia pergi, Obama bakal dikepung agen rahsia yang memerhatikan setiap gerak-geri di sekeliling mereka. Mereka ini memastikan setiap bangunan yang dikunjungi Obama bebas daripada sebarang bentuk ancaman. Mereka turut dibantu anjing pengesan.

Mudah bagi kita mengenali mereka ini kerana sering mengenakan kemeja putih dan berkot hitam.

Mereka memakai alat pendengaran dan dilatih mengekang sesiapa yang dianggap mampu mengancam presiden itu.

Pasukan pengiring ini sudah bersedia beberapa kilometer daripada jarak presiden berada. Orang ramai tidak dibenarkan memasuki zon ini tanpa sebarang urusan. Jika dibenarkan sekalipun, siasatan terperinci bakal dilakukan.

Kawalan ketat lain termasuk pasukan penembak tepat dan tindakan pantas di atas bangunan di mana sahaja Obama bakal berada.

Larangan terbang di ruang udara di mana presiden berada juga bakal dilakukan.

Obama akan berada di KL selama tiga hari bermula April 26 bagi sebahagian daripada kunjungan ke Asia. Beliau menjadi presiden Amerika Syarikat kedua yang berkunjung ke sini ketika memegang jawatan selepas Lyndon B Jonhson pada 1966.

Bukan warga ibukota tidak biasa menyaksikan kawalan ketat dengan kehadiran anggota polis yang ramai. Tetapi selalunya ia berlaku kerana protes jalanan diadakan sebagai bantahan terhadap sesuatu isu.

Kali ini tiada air bisa, gas pemedih mata dan penunjuk perasaan bertempiaran.

Pemandu teksi serta penjaja kaki lima pula seakan tidak merungut kerana perniagaan bakal tergendala.

Rungutan mereka kerap disiarkan akhbar arus perdana dan penganjur tunjuk perasaan akan diselar di dalam usaha meyakinkan orang ramai bahawa tindakan mereka mengganggu ketenteraman awam.

Pemandu teksi dan penjaja kaki lima pula sering diketengahkan kerana mereka lebih banyak menyokong parti pemerintah -- tetapi bukan semuanya.

Ketika kunjungan Obama, nampak macam mereka diam seribu bahasa.

Jadi sekarang bagaimana? Wajarkah mereka mula membuat bantahan kerana perniagaan mereka terjejas? Mereka berhak meluahkan pendapat, sama seperti yang dilakukan ketika tunjuk perasaan Bersih.

Katanya ada pihak yang akan menganjur protes ketika kunjungan Obama ini. Kumpulan yang menggelar diri mereka Zombie akan berpakaian dan memainkan watak mengerikan kerana mendakwa Obama ke sini bagi menandatangani perjanjian Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA).

Jaga-jaga. Anda mungkin ditahan agen rahsia dan dihumban ke penjara.

Bagi penggemar aktiviti membeli-belah, minggu ini anda wajar lupakan sahaja hasrat sebegitu.
Dan bagi Presiden Obama, "Selamat datang ke Malaysia”.

Ehsan http://bm.theantdaily.com/

Tiada ulasan: