Selasa, 22 April 2014

Kenyataan hudud: ABIM gesa Dr M taubat

MALAYSIAKINI



 
 
 
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mahu bekas Tun Dr Mahathir Mohamad bertaubat ekoran kritikan terbarunya berkaitan hudud dan kenyataan-kenyataan sinisnya terhadap undang-undang itu sebelum ini.

Presiden ABIM Amidi Abdul Manan (kiri) berkata, kritikan Mahathir yang menolak perlaksanaan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan sepatutnya tidak dilakukannya sebagai pemimpin dunia Islam yang disegani.

"Jika sebelum ini sindiran seperti ‘kalau mahu makan sup tangan bolehlah ke Kelantan’ dan beberapa kenyataan seumpamanya oleh beliau, maka ada baiknya beliau menarik balik kenyataan-kenyataan ini demi keimanan dan kecintaan kepada risalah Rasulullah SAW,” katanya.

Dr Mahathir dalam sidang media Khamis lalu berkata kerajaan Kelantan harus berfikir mendalam sebelum melaksanakan hudud kerana prinsip asas yang perlu ditekankan adalah keadilan.

Beliau berkata kerajaan Kelantan dilihat lebih memberi penekanan kepada hukuman dalam percubaan mereka untuk mengamalkan undang-undang itu.

"Dalam Islam, prinsip yang paling utama adalah keadilan dan terdapat 43 ayat al-Quran yang menyebut jika menghukum, hukumlah dengan adil. Jika sesuatu itu tidak adil, kita tidak boleh menghukum.

"Negara kita ada orang Islam dan bukan Islam. Jika mencuri, orang Islam kena potong tangan dan orang bukan Islam mencuri kena penjara, adil atau tidak?” katanya.

Dr M: keghairahan untuk menghukum

Dr Mahathir berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucap utama pada sesi meja bulat “Managing Rising Costs in the Current Business Environment”.

Sehubungan itu, Dr Mahathir (kanan) berpendapat cara pelaksanaan undang-undang itu harus diteliti sebaik-baiknya dan tidak hanya dilakukan atas dasar “keghairahan untuk menghukum”.

Dalam kenyataannya hari ini, Amidi membalas, keindahan hukum Islam terletak kepada proses perbicaraan, pembuktian dan urus tadbirnya.

"Kenyataan Dr Mahathir yang menumpukan kepada hukuman boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap hukum hudud," katanya.

Amidi berkata walaupun ABIM menyanjung usaha Dr Mahathir mengangkat martabat Islam, memberi pandangan tanpa merujuk ilmu dan sumber hukum yang tepat tidak sepatutnya dilakukan.

"Tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim apatah lagi sebagai pemimpin adalah bersikap adil termasuk memberi gambaran yang benar terhadap hukum Islam,” katanya.

Kerajaan PAS Kelantan melalui anggota Parlimen parti itu dilaporkan akan membawa usul rang undang-undang persendirian untuk melaksanakan hudud di Dewan Rakyat, selewat-lewatnya Disember depan.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata, pihaknya sudah menyiapkan draf untuk tujuan itu dan cuma memerlukan sedikit penambahbaikan serta pandangan pakar perundangan.
 

Tiada ulasan: