Isnin, 21 April 2014

Isma: Malaysia perlu kekal identiti Melayu-Islam, bukan berbilang kaum

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK


Umat Islam di Malaysia perlu kuat dan tabah dalam mempertahankan agama Islam dan Malaysia sebagai negara beridentiti Melayu-Islam. Gambar fail The Malaysian Insider.Umat Islam di Malaysia perlu kuat dan tabah dalam mempertahankan agama Islam dan Malaysia sebagai negara beridentiti Melayu-Islam. Gambar fail The Malaysian Insider.


























Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mahu identiti Melayu dan Islam dikekalkan di Malaysia dan bukannya identiti berbilang kaum, selaras dengan apa yang dinyatakan Perlembagaan Persekutuan.

Naib Presiden Isma, Abdul Rahman Mat Dali, berkata Malaysia yang asalnya dikenali sebagai Tanah Melayu adalah wilayah besar yang sudah lebih 60 ribu tahun didiami masyarakat beridentiti kaum Melayu dan sudah beratus tahun memeluk agama Islam.

"Sanggupkah anak bangsa Melayu bertahan menentang perjuangan mendiang Karpal Singh,DAP, MCA dan lain-lain yang bermati-matian berjuang untuk menukar identiti Malaysia kepada negara pelbagai kaun dan agama," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Semalam, bekas timbalan naib canselor Universiti Malaysia Pahang, Prof Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz menggesa umat Islam jangan terlalu apologetik dan gentar bersuara untuk menegakkan Islam.

Katanya, umat Islam di Malaysia tidak perlu takut untuk bersuara dan terlalu memikirkan perasaan masyarakat bukan Islam di negara ini.

"Kita tidak perlu apologetik, ramai di antara tokoh kita yang selalu memohon maaf dan takut bukan Islam berkecil hati jika berkata tentang Islam.

"Lihat Perlembagaan. Islam adalah agama Persekutuan bermakna Islam di atas dan bukan sebaris (agama lain)," katanya dalam satu forum di Kuala Lumpur kelmarin.

Abdul Rahman berkata, adakah orang Melayu sanggup dalam sejarahnya menjadi satu bangsa yang tiada tanah air sendiri dan hidup merempat di tanah asing.

Katanya, apa yang diperjuangkan berkait rapat dengan fahaman Islam dan tanggungjawab membangunkan umat Islam bagi mengatur urusan hidup umat mengikut ketentuan agama.

"Islam tidak pernah restu bangsa Islam berfikrah dangkal sedemikian. Semua orang Islam khususnya orang Melayu perlu sedar sebelum terlewat.

"Mereka perlu faham dan ambil peduli betapa pentingnya hal identiti negara. Malaysia mesti kekal dengan identiti Melayu dan Islam, dan dipertahan sebagai warisan hingga akhir zaman," katanya.

Tiada ulasan: