SINAR HARIAN
Datuk Zainol Fadzi Paharuddin
IPOH - Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) hari ini memohon maaf kepada
pasukan dan penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) ekoran insiden kekecohan
selepas perlawanan Liga Super malam tadi.
Melahirkan rasa dukacita atas insiden itu, Presidennya Datuk Zainol Fadzi Paharuddin menyifatkan ia adalah kekecohan terburuk yang pernah berlaku di Stadium Perak.
"Sebagai tuan rumah, Pafa telah menyediakan kawalan keselamatan yang sepatutnya, khas untuk perlawanan ini bagi menjamin keselamatan penonton dan pasukan, namun apa yang berlaku di luar jangkaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, perbuatan yang dicetuskan oleh penyokong Perak adalah tindakan yang melampau, tidak bertamadun dan tidak sewajarnya berlaku.
Pafa tidak menolak kemungkinan kejadian itu bermotifkan balas dendam berikutan kekecohan ketika skuad Perak berdepan pasukan JDT di Stadium Larkin dalam perlawanan Liga Super pada 18 Januari lepas, katanya.
Zainol Fadzi berkata, insiden buruk itu tidak sepatutnya berlaku kerana Presiden Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah menjelaskan kejadian yang berlaku di Larkin adalah terpencil dan telah selesai.
"Kita juga mendesak pihak berkuasa supaya menyiasat sama ada penyokong yang ditangkap turut dipengaruhi unsur lain seperti pengambilan alkohol dan sebagainya," katanya.
Beliau juga menolak dakwaan kononnya kejadian itu tercetus akibat protes penyokong Perak yang kecewa terhadap Pafa ekoran persembahan buruk skuad Seladang yang berada di tangga tercorot liga.
"Alasan itu tidak menghalalkan perbuatan mereka. Pafa sudah melakukan perkara yang sepatutnya untuk pasukan. Insiden ini tidak mencerminkan imej sebenar penyokong Perak kerana peminat sejati tidak akan bertindak begini, kita pernah mendapat anugerah penyokong terbaik sebelum ini," katanya.
Terdahulu Zainol Fadzi bertemu dua petugas media iaitu jurufoto Kumpulan NSTP, Supian Ahmad, 35, dan wartawan akhbar Sinar Harian, Razif Rosli, 30, yang mengalami kecederaan akibat terkena balingan bata dan mercun di pejabat Kumpulan NSTP di sini.
Dalam perlawanan tersebut, Perak terus merekodkan kekalahan apabila tewas 1-0 kepada JDT.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, lapan lelaki ditahan bagi membantu siasatan selepas perlawanan itu.
Mereka yang ditahan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan berumur antara 16 dan 25 tahun kerana merusuh, katanya.
Beliau berkata, dua anggota polis turut cedera dalam kejadian itu. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan