Rabu, 16 April 2014

Daripada Menteri Amaran Menjadi Menteri Penafian

shahbudindotcom


Ramai yang memuji keupayaan Hishammuddin Hussein dalam mengendalikan sidang akhbar, menjawab soalan dan memberi penjelasan, terutamanya daripada asakan soalan media asing sepanjang tugasnya sebagai pemangku Menteri Pengangkutan berkaitan kehilangan pesawat MH370.

Caranya menjawab soalan-soalan wartawan dikatakan cukup meyakinkan, tenang dan menunjukkan beliau memang membuat persiapan yang sewajarnya sebelum setiap kali sidang akhbar itu diadakan.

Kemampuannya berhadapan dengan media bukan saja menunjukkan beliau lebih baik berbanding Perdana Menteri, Najib Razak yang dua kali membaca kenyataan akhbar mengenai tragedi MH370, sekali di Kuala Lumpur dan sekali lagi di Perth, tetapi mengelak untuk disoal jawab oleh wartawan, bahkan gaya dan stail yang ditunjukkan oleh Hishammuddin itu mengingatkan kita kepada kemampuan yang ditunjukkan oleh Anwar Ibrahim dalam aspek yang sama, terutama ketika dalam kerajaan.

Baik ketika bersama kerajaan dulu, mahupun sebagai Ketua Pembangkang sekarang, kemampuan Anwar berhadapan dengan media, baik tempatan mahupun asing, tidak perlu dipersoalkan lagi. Melihat kebolehan Hishammuddin itu, seperti menunjukkan beliau mempelajari sesuatu daripada apa yang pernah ditonjolkan oleh Anwar sebelum ini.

Hanya berbekalkan kebolehan mengendalikan sidang akhbar berkaitan kehilangan pesawat MH370, kelemahan dan kelembikan beliau sebelum ini, khasnya ketika menjadi menteri dalam negeri seakan-akan telah dilupakan.

Bahkan, gelarannya sebagai Menteri Amaran Dalam Negeri berikutan kekerapan memberi amaran tetapi tiada tindakan, tidak lagi dibangkitkan ketika ini.

Lebih menarik, beliau yang hampir disingkirkan oleh Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir dalam pemilihan jawatan Naib Presiden UMNO tahun lalu serta tertinggal jauh berbanding dua regunya yang lain iaitu Zahid Hamidi dan Shafie Apdal, sudah mulai disebut-sebut sebagai bakal pengganti Najib hanya kerana penonjolannya berhadapan dengan media berkaitan kehilangan pesawat yang masih misteri sehingga sekarang.

Tragedi MH370, disebalik membawa cerita duka kepada ramai orang di seluruh dunia, bagaikan membawa rahmat terselindung kepada anak bekas Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn itu.

Namun demikian, jika sebelum ini Hishammuddin digelar Menteri Amaran, gelaran barunya selepas beberapa ketika mengendalikan sidang akhbar berkaitan misteri MH370 turut bertukar menjadi Menteri Penafian pula berikutan sejak kehilangan pesawat MH370 yang sudah memasuki hari ke 38 ini, peranannya yang paling banyak sekali dilakukan ialah membuat penafian.

Beliau tidak saja menafikan banyak teori dan spekulasi yang disiarkan oleh beberapa media asing, bahkan juga terpaksa menafikan spekulasi yang dibuat oleh media dalam negara dan dimiliki oleh UMNO sendiri. Apabila Utusan mengaitkan kehilangan pesawat dengan CIA, beliau tampil menafikannya dan begitu juga ketika NST menyiarkan berita ada panggilan yang cuba dibuat oleh pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid ketika pesawat itu terbang rendah di perairan Pulau Pinang, sekali lagi beliau juga menafikannya.

Ketika Anwar Ibrahim membuat dakwaan bahawa kerajaan menyembunyikan maklumat, Hishammuddin juga segera menafikannya dengan berkata, tiada apa yang perlu disembunyikan dan kerajaan sentiasa telus kepada media dan orang awam.

Bahkan ketika kenyataan Perdana Menteri yang memaklumkan kesimpulan kerajaan berdasarkan data satelit Immarsat bahawa pesawat itu berakhir di Lautan Hindi dan tafsiran ianya terhempas dipertikaikan seminggu kemudian kerana masih tiada bukti serpihan kapalterbang dan cebisan mayat ditemui, Hishammddin dengan selamba dan penuh yakin menafikan perkataan terhempas itu datang daripada mulut Najib.

Menurut Hishammudin, Najib tidak pernah menyebut terhempas, tetapi hanya berkata, pesawat itu berakhir di Lautan Hindi.

Dalam hal ini, Hishammuddin bukan saja mampu mengendalikan sidang akhbar tetapi juga mampu melindungi Najib walau dalam situasi semua orang mempercayai berakhir di Lautan Hindi adalah sama dengan terhempas. Kemampuan ini tentunya amat menggembirakan Najib.

Seiring dengan berlalunya masa dan keghairahan semua orang membuat pelbagai spekulasi, teori, telahan dan andaian berkaitan pesawat yang masih hilang itu, ia juga mungkin membuatkan Hishammuddin tampil dengan banyak penafian lagi.

Dengan membuat banyak penafian, gelaran sebagai menteri yang suka memberi amaran, tidak lagi diperkatakan dan mula dilupakan. Hanya masa dan keadaan yang menentukan sama ada bintang politiknya turut cerah atau sebaliknya selepas ini tetapi gelaran baru ini sekurang-kurangnya tidaklah melimpahkan imej seburuk Menteri Amaran yang disandangnya sebelum ini.

Tiada ulasan: