MALAYSIAKINI
Ketua Audit Negara menegur projek Empangan Paya Peda di Besut, Terengganu dengan kos RM348 juta yang disifatkan tidak memuaskan kerana hanya 65.21 peratus siap.
Dalam laporannya, audit turut menegur kontraktor untuk projek Kementerian Pertanian dan Sumber Asas Tani itu yang mungkin tidak berpengalaman untuk menjalankan projek besar itu.
Kontraktor itu juga didapati tidak mengikuti syor yang ditetapkan dalam laporan Penilaian Impak Alam Sekitar.
Kementerian itu melantik syarikat JAKS Resources Berhad dan Pembinaan Sujaman Sdn Bhd secara usaha sama melalui surat kelulusan bertarikh 12 September 2008.
Kementerian juga melantik Jurutera Perunding Zaaba Sdn. Bhd. sebagai perunding projek, yang melakukan kerja meliputi merekabentuk empangan, kajian kejuruteraan dan teknikal, penyediaan dokumen tender dan penyeliaan pembinaan.
Menurut laporan itu, kontraktor sepatutnya menjalankan ujian untuk mengesan mineral arsenik, yang boleh memudarakan keselamatan awam. Perkara itu didapati tidak dijalankan oleh kontraktor.
Audit mendapati, projek yang bermula 1 Jun 2010 hingga 30 November 2013 memakan masa terlalu lama disebabkan kontraktor gagal menepati terma kontrak yang ditetapkan.
Kelewatan itu didapati berpunca dari tindakan kontraktor yang tidak mematuhi sepenuhnya syarat dalam kontrak pembinaan, dengan mengurangkan bilangan jentera dan pelantikan subkontraktor tanpa kebenaran.
Ia seterusnya menegur kementerian kerana membuat bayaran berlebihan sebanyak lebih RM500,000 kepada satu syarikat juruukur tanah.
Laporan itu menyatakan, kelewatan boleh dielakkan jika kontraktor melaksanakan projek seperti yang dirancang dan pelantikan kontraktor berpengalaman dan berpengetahuan mengikut prosedur yang betul.
Dalam laporannya, audit menyebut Empangan Paya Peda mula dicadangkan pada 1995 dan hanya dilaksana bawah Rancangan Malaysia Kesembilan untuk membekal 1,120 juta liter air sehari kegunaan isi rumah, pertanian dan pembangunan di daerah itu.
Projek untuk Skim Pengairan Besut di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara itu juga dirancang sebagai struktur kawalan risiko banjir di hilir Sungai Besut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan