SUNGAI BULOH : Calon DUN Paya Jaras daripada PAS, Mohd Khairuddin Othman yakin pengundi Paya Jaras sudah bersedia untuk menumbangkan BN di kubunya sendiri.
Beliau melahirkan keyakinan tersebut berikutan sambutan masyarakat Melayu dan India serta maklum balas yang diterima dari kawasan yang didominasi pengundi Cina.
“Kawasan Cina memang tiada keraguan lagi dan di kawasan Melayu juga pada masa sekarang sudah menunjukkan sokongan yang semakin padu oleh pengundi.
“Apatah lagi sejak penyertaan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Mohd Taib ke dalam PAS beberapa hari lalu,” kata Mohd Khairuddin ketika ditemui TV Selangor selepas program bertemu masyarakat di pasar malam Taman Sri Putra di sini malam tadi.
Mohd Khairuddin turut berharap pengundi DUN yang pernah ditandinginya dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) lalu itu, memberi peluang kepada beliau membuktikan kemampuannya memberikan perkhidmatan terbaik berbanding Adun BN.
“Kempen hari ini cuma meredah hujan sahaja, tetapi kalau menang, suka tak suka, mahu tak mahu, saya kena tingkatkan tenaga 10 kali ganda dari sekarang untuk bantu masyarakat di sini. Insya-Allah jika banjir sekalipun saya bersama rakyat.
“Pengundi sekarang dah bijak tak lagi seperti era 60an, sekarang kalau mereka lihat YB mereka tak buat kerja mereka akan tukar,” katanya lagi.
TV Selangor juga sempat bertemu beberapa bakal pengundi bagi mendapatkan maklum balas mereka.
Operator mesin, K.K Chong, 60 berkata, beliau sedia memberikan sokongan kepada PR memandangkan tekanan hidup yang dihadapi rakyat hari ini.
“Sini di kawasan majoriti Cina, saya yakin pengundi lebih 80 peratus beri sokongan kepada PR sebab rata-rata yang saya jumpa, cakap sudah tak mahu BN lagi.
“Antaranya sebab kos sara hidup makin tinggi. Bukan Melayu sahaja rasa susah, Cina dan India juga rasa makin susah dan tertekan, jadi kita patut ubah kerajaan,” kata beliau.
“Saya jumpa mana-mana kawan India saya semua mood sama mahu PR sebab kita nampak Kerajaan PR Selangor kerja kuat, tak rasuah, tak curi duit orang, malah orang asli juga sokong PR,” kata Tamil Kalai, 50.
Pertembungan antara calon PAS Mohd Khairuddin dan calon BN, Muhammad Bushro Mat Johor dalam PRU-13 kali ini merupakan pertembungan kali ke dua.
Dalam PRU-12 pada 2008 lalu Mohd Khairuddin ditewaskan oleh calon BN itu dengan majoriti tipis 642 undi.
Muhammad Bushro memperolehi 11,521 undi manakala Mohd Khairuddin memperolehi 10,879 undi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan