Khamis, 25 April 2013

Kempen BN makin teruk, tak beretika

DETIK DAILY

Umno-BN kini semakin tersepit. Kajian dilakukan pelbagai pihak mendapati sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat semakin meningkat. Kini Umno-BN memaparkan gaya kempen paling teruk, menyebarkan pelbagai fitnah termasuk video lucah yang dikaitkan dengan pemimpin Pakatan. Ikuti temubual wartawan kanan AZIZ MUDA bersama Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan pada 14 April lalu.

WARTAWAN: Nampaknya gaya kempen BN kini semakin teruk... 

USTAZ NASRUDIN HASSAN: Memang kempen Umno-BN makin teruk. Apa mereka lakukan itu memang telah mereka lakukan sebelum ini. Malah dengan gaya kempen yang teruk itulah menyebabkan mereka semakin ditolak oleh rakyat.

Kalau dilihat tahun 2008, itulah sebenarnya yang menjadi faktor berlakunya tsunami politik sehingga Pakatan Rakyat menang di beberapa buah negeri yang turut menyebabkan Umno- BN hilang majoriti suara 2/3 di Parlimen.

Mereka serang Pakatan Rakyat menerusi media yang mereka kuasai secara keterlaluan. Modus operandi mereka memfokuskan kepada skandal seks. Ini menyebabkan rakyat menjadi cuak. Skandal-skandal seks yang dikaitkan dengan pemimpin Pakatan itu ditunjukkan dalam tv, diulang setiap hari, sehingga akhirnya menikam BN sendiri.

Tapi kini perkara serupa turut berlaku...

Dulu setelah BN kalah di beberapa buah negeri, mereka sedar buat seketika. Mereka sendiri buat post mortem, didapati punca kekalahan itu kerana menggunakan media secara keterlaluan.

Ini telah membawa kepada perletakan jawatan Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) sebagai Perdana Menteri. Untuk melakukan perubahan, BN mengurangkan sedikit penayangan perkara seperti itu di tv, manakala pemimpin pembangkang juga turut dibenarkan muncul di tv, tetapi selepas itu mereka kembali lupa diri.

Kini, BN kembali angkuh dan trend lama digunakan kembali oleh mereka menerusi media yang dikuasai secara keterlaluan.

Mereka dedahkan aib para pemimpin pembangkang. Pada hal bagi masyarakat Melayu, tindakan BN itu tidak boleh diterima sama sekali kerana masyarakat Melayu tetap kental dengan adab dan tatasusila.

Dokongan anak muda terhadap Pakatan macam mana?

Momentum kebangkitan golongan muda terhadap Pakatan Rakyat sekarang semakin menarik. Malah anakanak muda semakin bertenaga bagi mencetuskan gelombang perubahan di tanah air kita.

Selain itu, terdapat juga beberapa buah NGO yang didokongi anak-anak muda yang menyokong kita.
Antaranya termasuk ‘R’, Anak, Kekal dan sekarang Tolak yang didokongi golongan mahasiswa.

Momentum kebangkitan anak muda kepada Pakatan sekarang sangat tinggi. Mereka mempunyai keazaman yang tinggi untuk melihat perubahan di negara ini ke arah politik baru, tetapi bagi BN, politik fitnah juga yang dijadikan senjata utamanya.

Selain itu, BN juga turut mengabaikan kebebasan media di negara ini. Mereka cadangkan kepada Pakatan untuk muncul selama 10 minit di kaca tv bagi membentangkan manifesto, tetapi untuk membentang manifesto BN, mereka mengambil masa selama dua jam. Selepas itu diulang-ulang pula setiap hari. Ini merupakan satu sikap double standard kerajaan terhadap media.

Kajian akhbar Sinar Harian, 12 April lalu menunjukkan sokongan rakyat terhadap Manifesto Pakatan Rakyat sebanyak 80 peratus, dan Manifesto BN hanya 20 peratus sahaja.

Perangkaan itu sebenarnya sudah diduga. Sebelum ini pun sudah banyak kajian yang dilakukan pelbagai pihak yang menunjukkan peningkatan sokongan orang ramai terhadap Pakatan Rakyat, sehingga begitu mencemaskan BN.

BN terlalu jarang mengemukakan manifestonya kepada umum seperti yang dilakukan Dato’ Seri Najib pada 6 April lalu. Ia respons kepada Pakatan Rakyat yang telah pun mengumumkan Manifesto Rakyat beberapa minggu sebelum itu. Terdapat 22 item daripada Manifesto Rakyat yang kita umumkan itu yang dicedok oleh BN.

Tindakan BN yang mencedok manifesto kita itu pasti menjatuhkan kredibilitinya sendiri. Ini menunjukkan BN tidak mempunyai idea, sehingga menyebabkan rakyat melihat BN tidak mempunyai sebarang kehebatan. Populariti BN merudum sehingga menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap Umno-BN.

Kempen BN terus masih menggunakan jentera kerajaan. Apa reaksi Pakatan?

Kita kesal dengan tindakan BN yang masih menggunakan jentera kerajaan untuk melaksanakan kempennya.

Umno-BN tidak perlu bersembunyi dalam perkara ini kerana jelas tindakan seperti itu masih mereka lakukan.

Malah baru-baru ini di beberapa tempat, Dato’ Seri Najib masih lagi hadir ke tempat itu dengan menggunakan title sebagai Perdana Menteri.

Pada sambutan Hari Terbuka Angkatan Tentera baru-baru ini, Menteri Pertahanan juga turut hadir dengan title sebagai Menteri Pertahanan. Pada hal apabila Parlimen telah dibubarkan, title Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan sudah tiada lagi.

Saya sebagai Ketua Pemuda PAS Pusat telah mengarahkan segenap jentera pemuda memantau perkara itu. Jika ia masih berulang, kita akan laporkan perkara itu kepada SPR dan SPRM. Kita mahu mewujudkan Kerajaan Sementara yang berkualiti dan berkredibiliti tinggi di negara kita.

Pada PRU13, Ustaz telah diumumkan bertanding bagi kerusi Parlimen Temerloh.Macam mana dengan perkembangan di Temerloh sekarang?

Perkembangan di Temerloh sekarang memang menarik.

Ini adalah pertandingan ketiga saya. Sebelum ini, saya pernah bertanding kerusi Dun Bukit Iban di Pahang. Pada PRU12, saya bertanding kerusi Parlimen Maran, dan sekarang di Parlimen Temerloh.

Pengalaman itu agak menarik bagi saya. Masyarakat Temerloh memberikan sokongan yang cukup baik kepada saya. Dengan iklim politik yang semakin memihak kepada Pakatan sekarang, insya Allah, kita akan beroleh kemenangan nanti.

Tiada ulasan: