Oleh: Ruqayya Rahman
KUALA LUMPUR: Video kedua ceramah Zulkifli Noordin yang
didapati terus menghina agama Hindu, membuktikan sikap perkauman
dipamerkan Naib Presiden Perkasa itu.
Naib Presiden KEADILAN, N Surendran berkata demikian mengulas video
terbaru ucapan ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu yang tersebar di
internet semalam.
Video kedua itu susulan rakaman ucapan Zulkifli dalam satu majlis
ceramah yang didedah minggu lalu, di mana beliau didapati menghina agama
Hindu dan Tuhan sembahan penganut agama berkenaan.
Bagaimanapun, Zulkifli memberi alasan ceramah itu dibuat 12 tahun
lalu ketika beliau masih di dalam Pas dan kerana ‘terpengaruh’ dengan
Pembangkang.
“Ceramah kedua ini bertarikh 6 Mac 2013. Masa tu beliau sudah secara
rasmi bergelar pimpinan Perkasa dan secara terang menjadi sekutu kuat
Umno Barisan Nasional.
“Video kedua itu bukti jelas beliau bukan terpengaruh dengan sesiapa,
tetapi peribadinya sendiri sebagai seorang rasis yang ekstrem,” kata
Surendran.
Katanya, video ucapan terbaru ini cukup untuk mengheret Zulkifli ke
mahkamah di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan
ketidakharmonian, perasaan permusuhan dan kebencian berkaitan agama.
Tambah beliau, kenyataan itu bukan saja bercanggah dengan tradisi
rakyat berbilang kaum, malah tidak selari dengan ajaran Islam seperti
dinyatakan pimpinan Pakatan Rakyat sebelum ini.
Justeru beliau menggesa Ketua Polis dan Peguam Negara segera mengambil tindakan segera ke atas Zulkifli.
“Sikap berdiam diri kerajaan Umno dan Barisan Nasional menunjukkan
mereka bersetuju dan melindungi tindakan Zulkifli sebagai alat dan agen
perkauman mereka,” kata Surendran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan