Sekarang kita benar-benar berada
di dalam minggu-minggu pilihanraya yang ditunggu begitu lama. Pengumuman
pilihanraya oleh Perdana Menteri menjadi isu hangat di merata tempat. Di
mana-mana sahaja orang ramai bercakap tentang pilihanraya dan masing-masing
mempunyai andaian dan telahan masing-masing tentang keputusannya. Apa pun tidak berapa minggu sahaja lagi
rakyat akan melakukan tanggungjawab besar iaitu untuk memberikan mandat untuk
mentadbir negara dan rakyat seperti yang diperuntukkan oleh perlembagaan negara
kita.
Rakyat adalah ‘boss’ kepada pimpinan
dan mereka boleh melakukan apa sahaja mengikut selera dan cita rasa masing-masing. Rakyat
mesti bertanggungjawab untuk memberikan
‘verdict’ yang tepat terhadap pemimpin dan kepimpinan masing-masing. Perdana
Menteri telah meminta agar peralihan kuasa jika ia terjadi, dilakukan dengan
aman dan tertib dan inilah kenyataan yang pertama kali saya dengar sebagai
kenyataan yang ‘magnanimous’ dari Najib Tun Razak sejak akhir-akhir ini.
Walaubagaimanapun, yang penting
semua pihak mesti akui yang pihak pembangkang sekarang ini tidak akan melakukan
kerja yang tidak baik kerana mereka adalah pihak yang telah mengalami kekalahan
di setiap pilihanraya dan tidak pernah pula mereka melakukan kerja-kerja yang
tidak baik terhadap sesiapa setiap kali tewas dalam pilihanraya.
Kita mesti akui yang dalam
demokrasi sifat ‘gentleman’ itu adalah asas kepada sistem itu. Kita mesti
tengok contoh yang berlaku kepada Britain dalam pilihanraya umumnya
dua tahun yang lalu. Setelah parti pemerintah, Parti Buruhnya telah ditewaskan
oleh parti ‘Conservative dan Liberal Demokrat’ peralihan kuasa berlaku secara
aman dalam tempoh enam jam sahaja.
Walaupun Gordon Brown dan
partinya merupakan parti yang terbanyak kerusi tetapi tidak cukup untuk
membentuk kerajaan. Sebagai parti yang terbesar jumlah kerusi yang dimenanginya,
parti itu diberikan keistimewaan untuk menubuhkan kerajaan. Itulah sistem yang
dipakai di mana parti yang terbesar di dalam Dewan Legislatif itu ditawarkan
untuk menubuhkan kerajaan. Tetapi Parti Buruh tidak berdaya untuk menubuhkan
kerajaan kerana kekurangan jumlah kerusi maka Parti ‘Conservative’ dan ‘Liberal
Demokrat’ telah bersatu untuk menubuhkan kerajaan.
Ketua Parti Conservative David
Cameron telah menjadi Perdana Menteri dan Ketua Parti Liberal Demorat, Clegg
menjadi Timbalan Perdana Menteri. Tetapi yang penting untuk kita jadikan
contoh, peralihan kuasa telah berlaku dalam tempoh enam jam sahaja. Gordon Brown
telah menghubungi David Cameron dan mengucapkan tahniah di atas kejayaan parti
itu membentuk kerajaan campuran itu dan itu adalah etika kepimpinan yang perlu
dicontohi oleh pimpinan BN jika tertewas dalam pilihanraya kali ini.
Saya menyebut isu ini kerana
kecenderungan untuk parti pemerintah tewas dalam pilihanraya ini cerah tetapi
yang maha penentu adalah Allah SWT jua. Jika berlaku peralihan kuasa, ini
adalah kali pertama berlaku di negara kita. Itulah sebabnya elok kita mencari
contoh yang baik bagi melakukan peralihan kuasa ini. Bagi saya, peralihan kuasa
di Britain
dua tahun lalu adalah contoh yang paling baru yang ada dalam ingatan saya.
Percayalah menukar kerajaan itu
adalah hak rakyat dan ia bukannya satu tindakan jenayah. Oleh kerana itu
bukannya tindakan jenayah dan ia adalah perkara biasa berlaku dalam sesebuah
demokrasi itu, maka kita hormati keputusan itu. Tidak perlu mana-mana pihak
untuk melakukan perkara yang boleh menjahanamkan ketenteraan negara. Kita yang
mengaku sebagai sebuah negara yang hampir kepada status negara maju melakukan
jenayah di jalanan itu adalah contoh dari negara mundur dan negara ketiga
sahaja.
Kita bukannya Uganda semasa
pemerintahan Iddi Amin dahulu. Pemimpin kita semuanya berpelajaran tinggi dan
diharapkan pelajaran tinggi mereka itu akan membawa kita kepada kepimpinan yang
beretika dan bermoral.
Kita akan melakukan kehendak
demokrasi dalam beberapa minggu sahaja lagi dan kita tunjukkanlah kepada dunia
yang kita juga sudah menghampiri tahap kepimpinan negara maju…yang mengambil
alih kuasa itu secara demokrasi yang halus dan menyerahkan kuasa itu pun
melakukan penyerahan itu secara halus dan beradap juga.
Bukankah itu budaya dan cara
hidup masyarakat timur kita?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan