Rabu, 24 April 2013

Semua kaum beri sokongan kepada calon PAS


 

KL TODAY

KUALA SELANGOR: Calon PAS bagi Dun Jeram, Muhmmad Rashid Muhammad Kassim (PAS) atau lebih dikenali Cikgu Rashid menerima sambutan dan sokongan secara terbuka dari masyarakat India sewaktu program lawatan rumah ke rumah hari ini.

Harakahdaily yang turun bersama Cikgu Rashid mendapati, masyarakat India yang berada di Taman Pekerti, Jeram menunjukkan sokongan mereka untuk terus memilih Pakatan Rakyat (PAS) pada pilihanraya umum nanti.


Keadaan itu tidak ditunjukkan secara terbuka oleh masyarakat Melayu.

Walaupun di rumah mereka mempunyai bendera Bendera Barisan Nasional tetapi sokongan terhadap calon PAS dinyatakan secara senyap.


Jelas Cikgu Rashid, keadaan sedemikian telah lama berlaku tetapi beliau yakin sokongan dari masyarakat Melayu akan memihak kepada PAS.

“Kita lihat sokongan yang diberikan oleh masyarakat India amat baik dan mereka menyatakan secara terbuka untuk memilih kita pada pilihanraya nanti.

“Namun itu tidak berlaku kepada masyarakat Melayu, sokongan dinyatakan secara senyap, walaupun rumah-rumah terdapat bendera BN tetapi sokongan tetap untuk Pakatan Rakyat,” kata beliau.

Katanya lagi, sebagai guru sebelum ini memberi kelebihan kepadanya untuk mendekati masyarakat Melayu yang kebanyakan mereka merupakan ibu bapa kepada pelajar-pelajar sekolah yang pernah beliau mengajar dahulu.

“Namun ia bukan halangan besar untuk saya sebab sebagai bekas guru, saya mempunyai undi peribadi yang boleh memihak kepada PAS.

“Kebanyakan masyarakat Melayu di sini, anak-anak mereka merupakan pelajar saya dan ini sedikit memberi ruang kepada saya dengan mudah mendekati mereka, sikap hormat mereka masih ada dan ia peluang untuk saya menjelaskan apa yang ingin Pakatan Rakyat sampaikan kepada seluruh rakyat,” sambung beliau.


Cikgu Rashid yang akan ditentang oleh Datuk Amiruddin Satro (BN) berkeyakinan dalam tempoh kempen yang hanya tinggal 11 hari lagi dapat memberi ruang untuknya bertemu dengan seluruh pengundi di Dun Jeram.

Malah beliau juga berpendapat majoriti sebanyak 1,470 undi yang dimenangi BN pada 2008 lalu bukan satu masalah kerana sepanjang tempoh kempen empat hari berlaku peningkatan sokongan dari masyarakat Melayu, India dan Cina.

Beliau selaku Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Selangor mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kampung Pandan, Kuala Lumpur, kemudian Sekolah Menengah Aminuddin Baki sebelum melanjutkan pelajaran ke Mahktab Perguruan Lembah Pantai.

Beliau bukan orang asing di Mukim Jeram, anak jati Kuala Selangor yang dilahirkan pada tahun 1958 itu telah menghabiskan lebih 32 tahun sebagai guru khususnya di Kuala Selangor.

Tiada ulasan: