Rabu, 17 April 2013

Penduduk sokong Nurul Izzah, tanam bendera ‘Malaysian Spring’ dicabut DBKL

Oleh Ruqayya Rahman

BANGSAR : “Kami nak cakap, sila dengar”, laung penduduk kepada lapan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mencabut lebih kurang 16,000 bendera kecil di bulatan Lucky Garden anjuran calon KEADILAN Parlimen Lembah Pantai (P121), Nurul Izzah Anwar.

bendera

Bendera yang ditanam sendiri penduduk pelbagai kaum pada 14 April lalu simbolik kepada harapan rakyat Lembah Pantai yang mahukan Malaysia lebih baik tanpa sentimen perkauman dan keganasan.

Pemilihan bendera biru, putih, merah, kuning dan oren yang memenuhi ruang bulatan tersebut diambil daripada warna tema Demi Rakyat.

Suasana meriah di laluan itu hanya seketika apabila DBKL mencabut bendera berkenaan jam 5.30 pada petang yang sama ia ditanam.

Bagaimanapun, rampasan bendera berjaya dihalang dengan kehadiran penduduk yang membantah tindakan itu.

kadir sultan 2

Kadir Sultan, 63, berkata, bantahan disertai sekumpulan penduduk termasuk pemandu yang melalui bulatan itu yang sanggup menghentikan kenderaan mereka di tepi jalan untuk membantu.

“Mula-mula kami dua tiga orang sahaja. DBKL berkeras nak kutip, sebab mereka (DBKL) kata bendera itu tiada pemilik.

“Siapa cakap bendera ini tak ada pemilik? Ia milik rakyat, buktinya ramai yang datang bantu. Hampir 40 penduduk pelbagai kaum yang saya sendiri tidak kenal singgah dan beri sokongan,” katanya pada majlis minum petang penduduk Lembah Pantai bersama Nurul Izzah di sekitar bendera tersebut lewat petang semalam.

Beliau kagum dengan semangat penduduk sehingga DBKL akhirnya terpaksa beredar dan menyerahkan semula semua bendera yang dicabut.

“Sejurus itu, semua penduduk tawarkan diri untuk tanam semula bendera. Tak sampai sejam, bulatan Lucky Garden kembali ‘berbunga’,” kata Kadir.

Pada majlis itu, Nurul Izzah melancarkan kempen ‘Malaysian Spring’ dan secara rasmi menjadikan bendera di bulatan itu sebahagian daripada bahan kempen untuk Pilihan Raya Umum ke-13.

“Bendera-bendera kecil pelbagai warna itu ditanam sebagai simbol harapan yang ditanam oleh rakyat Malaysia, tanpa mengira warna kulit dan perbezaan.

“Separuh dari mereka tidak sertai mana-mana parti politik tetapi mereka berkongsi harapan yang sama dengan kami, untuk menjadikan Malaysia lebih baik,” kata Naib Presiden KEADILAN itu yang akan menentang Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin pada 5 Mei nanti.

Ekoran tindakan DBKL, Nurul Izzah menghantar surat rasmi kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur 15 April lalu bagi mendapat hak berkempen yang sama dengan Umno BN.

Sementara itu, Pengarah Projek Malaysian Spring, Seksan berkata, idea itu untuk membantu Nurul Izzah berkempen dengan kos paling minima, yang kemudiannya mendapat sambutan ramai termasuk NGO bukan politik.

“Projek Malaysian Spring asalnya untuk bantu beliau kurangkan kos kempen. Jadi kita cuba fikir satu idea santai dan lain daripada lain,” katanya.

Setakat ini, 18,400 bendera ditanam dan Seksan menjangkakan dalam masa tiga minggu sebelum PRU 13, 200,000 bendera kecil pelbagai warna akan ‘tumbuh’ mewarnai Lembah Pantai dan merebak ke seluruh negara. – NS

Tiada ulasan: