Shamsul Iskandar Mohd Akin
Sejarah adalah cukup sinonim dengan negeri Melaka. Sejarah
kegemilangan Melaka sering diulang sebut oleh masyarakat umum di
Malaysia. Duarte Barbosa yang mengiringi Ferdinand Magellan pernah
mencatatkan bagaimana ekonomi Melaka begitu makmur sehingga dikatakan
“siapa yang menguasai Melaka, mereka menguasai dunia.” Dicatatkan juga
sebanyak 84 bahasa dituturkan pada waktu itu.
Rakyat Melaka juga seharusnya berbangga apabila Allahyarham Tunku
Abdul Rahman, Bapa Kemerdekaan Malaysia memilih negeri bertuah ini untuk
diisytiharkan tarikh kemerdekaan Negara.
Semua ini adalah fakta sejarah yang penting kerana di sebaliknya
terkandung banyak nilai-nilai luhur yang mesti bersama kita pelihara.
Pertama,
kegemilangan Melaka tidak akan kekal sekiranya kita mengambil nilai
yang salah dengan menganggap kepimpinan adalah satu keistimewaan, bukan
amanah yang menuntut pertanggungjawaban.
Kedua, masyarakat Melaka sudah lama hidup secara kosmopolitan –
masyarakat berbilang bangsa dan kepercayaan tetapi saling memberikan
yang terbaik untuk manfaat semua.
Ketiga, kerukunan hidup bermasyarakat seringkali diuji oleh fitnah
dan adu domba golongan yang kemaruk mahu terus berkuasa. Nilai setia
dijadikan dalih untuk menghalalkan kezaliman dan kejahatan.
Keempat, negara ini merdeka dengan semangat federalisme di mana
kedaulatan dan kuasa-kuasa negeri tetap ada. Dalam Pemashoran
Kemerdekaan yang dibacakan oleh Allahyarham Tunku kemudiannya, beliau
menegaskan kepentingan nilai kebebasan dan keadilan dalam sistem negara
demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.
Inilah iktibar yang harus kita selaku rakyat masa kini khususnya
generasi muda ambil sebagai pengajaran. Negara akan terbina dengan
siasah yang tulus serta mendahulukan rakyat, dan negara juga akan mudah
jatuh hanya dengan kebusukan politik bagi mereka yang rakus dan bobrok
moral.
Usai 55 tahun merdeka, 5 Mei 2013 akan menyaksikan rakyat kembali ke
lapangan demokrasi untuk memilih. Dan wajar sejarah baharu ditempa agar
Melaka tidak mencatatkan kejatuhan sebagaimana yang dialami pada tahun
1511. Budaya ‘Si Kitul & Raja Mendeliar’ harus ditalkinkan untuk
merencana wacana politik yang segar dan sihat.
Menginsafi peristiwa inilah KEADILAN dan Pakatan Rakyat menampilkan
sesuatu untuk merealisasikan harapan rakyat. Harapan yang tidak ditiru
dan di-plagiat, sebaliknya harapan tulen lagi absah. Barisan
kepemimpinan yang ditawarkan untuk negeri Melaka dan Malaysia adakan
antara yang terbaik untuk menghasilkan masa depan yang lebih cerah.
InshaAllah, 5 Mei akan mencatat satu sejarah baharu, dan kami,
Pakatan Rakyat, terus menjamin kepimpinan berkualiti untuk memimpin
Malaysia dan Melaka ke arah negara yang adil, demokratik dan madani.
(Perutusan calon KEADILAN Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin sempena Ulang Tahun Melaka Bandar Bersejarah)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan