Oleh Sidiqin Omar
PETALING JAYA : Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah
Wan Ismail mempersoal tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
mengedarkan kertas undi pos lebih awal iaitu semalam kepada anggota
polis.
Beliau mempertikai tindakan SPR, berikutan pengundian awal hanya akan dijalankan pada 30 April, seminggu dari hari ini.
“Kita ingin penjelasan SPR, apakah kertas undi pos yang dikeluarkan
hanya untuk pengundi pos anggota polis, atau pengundi pos luar negara?
“Jika (SPR keluarkan) untuk semua undi pos, kenapa (hanya) diedarkan
kepada pihak polis (sahaja) semalam?” kata Wan Azizah pada sidang media
di ibu pejabat parti, hari ini.
Difahamkan, 6,000 undi pos dikeluarkan semalam dan beliau menuntut
SPR memberi penjelasan berikutan sumber rasmi polis di laman webnya
mengesahkan menerima undi pos untuk anggota dan pasangan anggota.
“Kita khuatir ada jurang masa sehingga ke tempoh mengira undi.
Bagaimana undi itu disimpan? Siapa yang boleh pastikan undi pos
terkawal?” soal Wan Azizah.
Beliau merujuk keadaannya sendiri pada 2004 apabila diberi jaminan
SPR bahawa kertas undi pos di Parlimen Permatang Pauh yang disimpan di
Maktab Perguruan Tuanku Bainun diawasi dengan kamera litar tertutup
(CCTV).
“Kemudian kami difahamkan kamera CCTV tersebut tidak mempunyai filem. Pengawasan kotak-kotak undi
ini mesti diberitahu kepada pihak-pihak yang bertanding. Apa jaminan
keselamatan?” soal Wan Azizah lagi.
“Kita mahu penjelasan SPR. PRU 13 adalah pilihan raya yang penting,” tegasnya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan