Herman atau nama sebenarnya, Masrun Tamsi, 59, menjelaskan, keputusan untuk bertanding diambil hanya dalam tempoh 24 jam.
Menurutnya, tiada sesiapa dari mana-mana parti atau orang perseorangan yang datang untuk memintanya untuk bertanding memandangkan beliau masih setia dan terhutang budi dengan BN yang banyak menolongnya selama ini.
“Namun atas dasar ketidakpuasan hati terhadap segelintir pemimpin yang tidak memandang kewujudan saya sebagai anak seni dan penduduk tempatan, hati saya jadi marah, seterusnya menjadi punca tindakan bertanding sebagai calon Bebas diambil.
“Meskipun ramai menuduh saya membelot parti dan dikritik teruk semua yang memungkinkan mata pencarian sebagai artis selepas ini lenyap, namun semua itu saya terima dengan hati terbuka,” katanya dalam sidang media di rumahnya di Jalan 7/1, Sungai Gulang-Gulang.
Herman berkata, beliau bukan sengaja ingin menentang kerajaan dan sebagai artis, tiada niat dihatinya untuk terlibat dalam kancah politik yang ternyata banyak menghabiskan wang simpanannya untuk berkempen.
“Sebelum ini, saya cuba memulihkan hubungan dengan membawa mesej cinta melalui lagu didendangkan namun ia seolah-olah tidak mencukupi, jadi saya memutuskan untuk menggunakan landasan politik bagi menterjemahkan lirik supaya dapat perhatian lebih.
“Saya cuma mahu politik kotor yang saling mengutuk antara pemimpin, tindakan cantas pemimpin muda dan sikap orang memandai dihentikan kerana itu semua menimbulkan suasana tegang antara penduduk sekali gus menyebabkan kualiti kepimpinan yang ada hilang.
“Saya tiada wang yang banyak untuk dijanjikan kepada pengundi sekiranya menang nanti, tetapi saya mampu menjanjikan jambatan kasih sayang untuk memulihkan hubungan orang ramai yang kini dilihat rosak kerana taksub dengan fahaman politik masing-masing," katanya.
Herman berkata, beliau mahu menerapkan pendamaian dalam politik dan menghormati kemajuan sedia ada selain menjaga harta benda dengan baik melalui lagu dinyanyikannya, seiring manifesto dibuat khas untuk pengundi di kawasan Parlimen Tanjong
Karang.
Buat masa ini katanya, pihaknya bergantung kepada dana tertentu untuk meneruskan usaha berkempen selain terpaksa menggadaikan harta benda bagi menjayakan usahanya untuk bertanding selain sokongan sahabat yang tidak putus-putus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan