Rabu, 24 April 2013

Hadi: Jawatan PM hanya layak untuk orang Islam

SINAR HARIAN

Abdul Hadi Awang
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
 
HULU TERENGGANU - Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi pendiriannya bahawa jawatan Perdana Menteri hanya layak dipegang oleh orang beragama Islam.

Menegaskan demikian ketika berceramah di Kuala Berang di sini lewat malam tadi, Abdul Hadi berkata bagaimanapun soal menteri, tidak kira individu itu Islam atau tidak, masih boleh menjadi menteri seandainya pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

"Memerintah negeri (bukan Islam) boleh dengan orang Islam, syaratnya, nombor satu, Perdana Menteri adalah orang Islam, yang jaga dasar negara mestilah orang Islam di negara Islam. Kalau bukan Islam, suruh dia masuk agama (Islam).

"Tetapi (contohnya) kalau (jawatan) Menteri Kerja Raya, kalau dia bukan Islam tapi dia mahir bab jalan raya boleh buat bangunan, kita lantik dia.

Tapi kalau nak lantik dia jadi Menteri Jaga Masjid memang tidak boleh," katanya.

Malah calon Parlimen Marang dan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang itu turut memperlekeh dan menyifatkan usaha kerajaan negeri Terengganu di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) membangunkan Tasik Kenyir sebagai zon pulau bebas cukai serta pembinaan Zoo Kemaman di negeri ini sebagai suatu pembaziran wang rakyat.

Selain Hadi, beberapa pemimpin Pas turut berceramah dan mereka hanya mengupas isu lapuk yang pernah dimainkan sebelum ini serta menjadikan pentas ceramah sebagai tempat mengkritik pemimpin tertinggi BN pusat selain pemimpin negeri seperti Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said secara terbuka. - Bernama

Tiada ulasan: