Isnin, 22 April 2013

Fitnah PR, Calon BN Sendiri Amal Sentimen Perkauman


ceramah selayang 21 apr gan pei nei 02

SELAYANG : Isu perkauman yang menjadi senjata Umno-BN untuk melaga-lagakan Pakatan Rakyat (PR) akhirnya memakan diri apabila parti itu menempatkan calon yang secara jelas mengamalkan sentimen tersebut.

Calon PKR Parlimen Batu, Tian Chua berkata, tindakan Umno-BN menempatkan calon yang mengamalkan sentimen perkauman jelas menunjukkan parti itu kekurangan pemimpin berwibawa malah hanya mengundang jelik di kalangan rakyat.

“Mereka fikir dengan menempatkan calon seperi Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Malaysia, Datuk Zulkifli Noordin di Parlimen Shah Alam yang memainkan isu perkauman boleh meraih undi dan sokongan rakyat.

“Namun, mereka tidak sedar bahawa rakyat terutama masyarakat Melayu sendiri sudah jemu dengan sentimen yang sering dimainkan oleh Umno-BN itu.

“Umno-BN meletakkan calon yang terang-terangan menghina agama lain tetapi pemimpin ini tidak pula dihukum,” katanya dalam ceramah Pakatan Harapan Rakyat di perkarangan Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), di sini malam tadi.

Zulkifli yang baru-baru ini dilanda kontroversi berhubung sebuah video yang mendakwa dia menghina agama Hindu, akan berhadapan dengan calon Pas Khalid Samad untuk kerusi Parlimen Shah Alam.

Sementara itu, penyandang Parlimen Selayang, William Leong berpendapat, Umno-BN ketandusan idea untuk meraih sokongan rakyat dengan meniru manifesto PR baik di peringkat Persekutuan mahupun negeri.

Bagaimanapun tegasnya, Umno-BN tidak mampu untuk menyaingi pentadbiran PR yang telus, bebas rasuah dan berintegriti.

ceramah selayang 21 apr 01

Katanya lagi, rakyat juga harus membuat penilaian bijak dengan tidak terpengaruh terhadap pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang disifatkan tidak membantu rakyat untuk jangka masa panjang.

“Jangan disebabkan BR1M, kita sanggup jual undi dan gadaikan masa depan negara. Apa sahaja yang rakyat boleh beli dengan bantuan one-shot begitu?

“Selepas 42 tahun dengan dasar ekonomi baru, didapati 73 peratus termiskin di desa adalah orang melayu, begitu juga miskin bandar sebanyak 53 peratus yang turut melibatkan Melayu.

“Masanya sudah sampai untuk rakyat membuat perubahan dengan bersatu padu menyokong PR,” katanya.

Bagi penyandang DUN Rawang, Gan Pei Nei, beliau menyifatkan pentadbiran PR yang telus tidak akan memufliskan negara seperti yang didakwa Umno-BN, sebaliknya dilihat mampu membantu lebih ramai rakyat.

“Kita melaksanakan pentadbiran berdasarkan kepada agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang bertemakan hasil negeri utk rakyat.

“Sekiranya Kerajaan PR diberi mandat sekali lagi untuk memerintah Selangor, kita bukan sahaja beri air pecuma tetapi beri saham industri air kepada rakyat,” ujarnya.

Tiada ulasan: