Oleh Norutul Ilham
KUALA LUMPUR : Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua mendedahkan
kes pertukaran alamat tempat mengundi tanpa pengetahuan pengundi.
Katanya, walaupun hanya tinggal 10 hari lagi untuk mengundi, SPR
sebagai badan bertanggungjawab harus memberikan perhatian berhubung
perkara tersebut.
“Masalah maklumat ditukar tanpa pengetahuan pengundi masih perlu
diberi perhatian. Perkara ini mengganggu pengundi, juga turut
mempengaruhi proses pilihan raya demokrasi.
“SPR perlu menyiasat kes-kes tersebut, bukan biarkan begitu sahaja.
Terdapat banyak masalah maklumat pengundi ditukar tanpa pengetahuan
pengundi sendiri, terutama kawasan mengundi ditukar dan didaftar menjadi
pengundi pos.
“Masalah sebegini menyusahkan pengundi, sebab mereka mungkin tidak
ada masa buat persediaan untuk mengundi pada hari mengundi,” kata Tian
pada kenyataan, sambil menuntut penjelasan SPR berhubung isu ini.
Beliau berkata, berdasarkan aduan rakyat mengenai pertukaran tempat
mengundi, beliau tidak menolak sekiranya taktik itu diguna untuk
mengurangkan kadar pengundi di tempat yang dikhuatiri BN akan kalah.
“Seorang penduduk berasal dari Johor, kini tinggal di Puchong,
Selangor memberitahu, tiga orang kawan dan seorang rakan kerjanya
masing-masing menghadapi masalah alamat mengundi ditukar tanpa
pengetahuan mereka.
“Saya percaya, ada pihak tertentu merancang mengurangkan kadar undi
Cina. Tiga orang kawan saya terima surat dari BN, menyeru mereka balik
kampung mengundi (seorang balik Johor Bharu, dua orang balik Seremban).
“Mereka hairan sebab mereka sudah tukar alamat mengundi, malah
telahpun mengundi di kawasan Puchong pada pilihan raya yang lepas,” ujar
Tian yang mempertahankan kerusi Parlimen Batu pada pilihan raya kali
ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan