Ahad, 7 April 2013

3 tawaran Wanita Pakatan untuk wanita Malaysia

Salmiyah Harun,




KUALA LUMPUR: Wanita Pakatan Rakyat hari ini melancarkan tiga tawaran untuk wanita Malaysia.

Tiga tawaran itu adalah caruman wanita nasional sebanyak RM600 setahun, insentif penjagaan anak RM1,000 setahun untuk anak 13 tahun ke bawah dan agensi pembantu rumah tempatan.

Tawaran yang pertama adalah sebagai satu pengiktarafan kepada peranan wanita sebagai suri rumah.

"Komitmen kami adalah untuk mengangkat martabat wanita," kata Dr Mariah Mahmud ketika membaca kenyataan media itu.

Sidang media itu diadakan di Pusat Media PAS dan dihadiri oleh semua pimpinan utama wanita Pakatan Rakyat.

Antaranya Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff , Timbalan Ketua Wanita PKR, Rodziah Ismail dan Setiausaha Wanita DAP, Teo Nie Ching.

Caruman wanita

Bagi tawaran Caruman Wanita Malaysia atau Tabung Simpanan Suri Rumah, RM600 setahun akan diberikan kepada setiap suri rumah di Malaysia dalam bentuk caruman.

"Konsep yang kita gunakan adalah gabungan antara simpanan hari tua seperti KWSP dan tabung bencana semacam Socso.

"Wanita boleh mengeluarkan caruman ini selepas berumur 55 tahun atau pencen atau bayaran akan dibuat sekiranya si wanita ini sedang menghadapi musibah," kata Dr Mariah ketika menjelaskan skim ini.


Insentif Penjagaan Anak

Untuk insentif penjagaan anak pula, Roziah Ismail Timbalan Ketua Wanita PKR yang juga Exco kerajaan negeri Selangor menjelaskan, konsep ini telah dilaksanakan di negeri Selangor.

"Setiap anak dari keluarga yang mempunyai pendapatan di bawah paras yang kita tetapkan akan diberikan kopun khas.

"Dengan kopun ini, ia boleh diserahkan kepada pusat jagaan kanak-kanak ini untuk mendapat rebat dari pengusaha pust jagaan dan pusat jagaan mendapat bayaran dari pihak kerajaan dengan kopun ini," jelas beliau tentang mekanisma pelaksanaan skim yang ditawarkan Wanita Pakatan ini.

Pengurus Rumah Tangga

Untuk Penubuhan Agensi Pembantu Rumah Tempatan pula, Naib Ketua Muslimah PAS, Mumtaz Mat Nawi menjelaskan, ia bertujuan untuk melahirkan 'Pengurus Rumah Tangga Profesional' di kalangan wanita tempatan.

"Kita mahu naikkan taraf profesion pembantu rumah kepada pengurus rumah tangga. Ia bertujuan untuk membolehkan mereka mendapat latihan yang cukup dari kerajaan dan mendapat pekerjaan yang sesuai dan mulia," katanya.

Melalui pendekatan ini, pembantu rumah yang dinaikkan taraf ini akan mendapat gaji yang setimpal sesuai dengan khidmat yang mereka berikan kepada keluarga yang menggaji mereka.

Teo Nie Ching ketika menjelaskan perkara ini berkata, beliau mempunyai pengalaman peribadi tersendiri dalam isu penjagaan anak sebagaimana yang dijanjikan oleh kerajaan.

"Selepas saya melahirkan anak baru-baru ini saya membawa anak saya ke Parlimen. Saya bertanya dimana pusat penjagaan kanak-kanak yang dijanjikan kerajaan. Mereka kata tidak ada.

"Jadi saya anggap apa yang dijanjikan oleh Najib dalam manifesto BN hanyalah palsu saja...janji dicapati saja," katanya.

Tiada ulasan: