Jumaat, 19 Jun 2009

Tiada cadangan kuat kuasa daftar blogger

BERITA HARIAN ONLINE


MENTERI Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata kerajaan tidak bercadang menguatkuasakan peraturan pendaftaran dan penyenaraian blogger, sebaliknya mereka diberi kebebasan menyampaikan maklumat di laman blog masing-masing.

Bagaimanapun, blogger tertakluk kepada perundangan sedia ada supaya sebarang paparan tidak menyalahi peraturan ditetapkan.

"Walau apapun yang dikenakan pihak berkuasa, laman web bebas untuk mencatat, menyampaikan atau memaklumkan sesuatu.

"Setakat ini kita tidak menyenaraikan atau mendaftarkan blogger. Namun, apa yang dijamin perundangan dan demi keharmonian bersama, undang-undang kita perlu hormati," katanya menjawab soalan tambahan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang meminta penjelasan kemungkinan kerajaan akan mendaftar blogger.

Menjawab soalan asal Datuk Ismail Abd Muttalib (BN-Maran), Rais berkata, mengikut Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, tindakan boleh diambil terhadap individu yang memberi kandungan bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM50,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, bagi penyalahgunaan laman web, enam kes membabitkan lapan tertuduh dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan menghina Sultan Perak dan seorang daripadanya mengaku bersalah dan disaman RM10,000.

"Media cetak dan elektronik tertakluk kepada pelbagai undang-undang untuk memastikan kandungan tidak bercorak fitnah atau hasutan bertujuan memporak peranda masyarakat pelbagai kaum, agama dan keturunan.

"Sebagai pemegang lesen mengikut AKM, kandungan disiarkan penyiar swasta dikawalselia dengan rapi kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.

Tiada ulasan: