Jumaat, 19 Jun 2009

Pensyarah tuntut RM1j

BERNAMA


SHAH ALAM: Seorang pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semalam, memfailkan saman terhadap seorang pegawai Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) bagi menuntut ganti rugi RM1 juta berhubung isu fahaman 'Wahhabi' yang diterbitkan dalam sebuah blog yang didakwa memfitnahnya.

Dr Azwira Abdul Aziz, 41, pensyarah kanan di Jabatan Pengajian al-Quran dan As-Sunnah, UKM, memfailkan saman itu melalui peguamnya, Adnan Seman di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini dengan plaintif menamakan Zamihan Mat Zin, penolong pengarah Pusat al-Quran dan Ilmu Teras, ILIM, yang juga pemilik blog al-ghari.blogspot.com sebagai defendan.

Azwira, yang juga Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis, menuntut ganti rugi am sebanyak RM500,000, ganti rugi pengajaran sebanyak RM500,000, faedah, kos tindakan dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Dalam pernyataan tuntutannya, Azwira berkata, Zamihan menerbitkan sebuah artikel bertajuk Kisah Lama dari UKM di blog berkenaan pada 6 Mac tahun lalu, yang mengandungi kenyataan mengaitkan beliau dengan fahaman Wahhabi yang didakwa tidak benar dan berunsur fitnah.

Katanya, perkataan dalam artikel terbabit antara lain membawa maksud bahawa beliau adalah seorang yang bermetodologi Salafi Al Wahhabi dan amat taksub terhadap fahaman Wahhabi serta seorang yang membawa ajaran yang sesat.

Azwira berkata, penerbitan artikel itu menjatuhkan maruahnya di sisi umum khususnya kepada masyarakat beragama Islam.

Katanya, beliau sebelum ini, melalui surat peguam caranya bertarikh 11 Mei lalu, menuntut defendan membuat satu kenyataan memohon maaf secara bertulis dan ganti rugi sebanyak RM500,000, namun defendan gagal, cuai dan/atau enggan berbuat demikian. -

Tiada ulasan: