Isnin, 1 Jun 2009

Kerajaan negeri tumpu tarik pelabur China

SINAR HARIAN ONLINE


TAMAN DESA – Kerajaan negeri akan berusaha mengadakan hubungan baik dengan pelabur dan pemimpin dari China bagi merancakkan perkembangan ekonomi negeri ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok, pihaknya memilih pelabur dari China kerana negara itu tidak terjejas apabila kegawatan ekonomi berlaku, dan syarikat di negara tersebut juga dilihat kukuh dengan membeli bon yang dikeluarkan oleh Amerika Syarikat.

“Beberapa bulan lepas saya telah membawa beberapa pegawai anak syarikat kerajaan negeri menemui pengerusi persatuan perniagaan dan pemimpin kerajaan bagi membincangkan perkara itu.

“Khamis ini, saya akan membawa satu rombongan pergi ke beberapa tempat di China untuk melihat ekspo perdagangan, di sini saya berpeluang berjumpa pemimpin negeri dan memberikan taklimat kepada mereka mengenai peluang pelaburan di Selangor dan akan mengadakan hubungan lebih erat dengan usahawan serta peniaga di sana,” katanya.

Katanya, pelabur dari negara itu berminat untuk membuat pelaburan di negara ini dan beranggap kegawatan ekonomi dunia sekarang adalah peluang keemasan bagi China untuk melabur ke luar negeri.

“Di Malaysia sekurang-kurangnya kita ada 26 peratus kaum Cina dan 90 peratusnya fasih berbahasa Mandarin dan tahu membaca dalam bahasa Cina. Ini satu aset bagi Malaysia dan Selangor khususnya untuk cuba mendapatkan pelaburan dari China,” katanya.

Katanya, pelabur China sememangnya cukup berhati-hati untuk membuat pelaburan di negara luar bagaimanapun dengan sokongan persatuan perdagangan dan hubungan baik antara China–Malaysia beliau harap matlamatnya berjaya.

Dalam pada itu, Teresa berkata keadaan ekonomi dunia hari tidak menjejaskan pelabur datang ke negeri ini.

Ini terbukti apabila masih ramai pelabur asing dan pelabur tempatan berkeyakinan dan berminat untuk melabur syarikat pembuatan alat solar dari Amerika Syarikat yang berminat untuk mencari tanah di Selangor bagi menubuhkan kilang mereka.

Tiada ulasan: