MYMETRO
PETALING JAYA: Isteri penyanyi veteran Datuk Ahmad Jais, Datin Mas Alilah Mas Nayin, 69, meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, malam tadi.
Arwah menghembuskan nafas terakhir di sisi suami dan dua anaknya kira-kira jam 7.30 malam selepas 12 hari dirawat.
Ahmad Jais, 73, ketika ditemui berkata, dia dan keluarga pasrah dengan pemergian isterinya dan menganggapnya sebagai ketentuan ilahi.
“Hati saya sebak setiap kali melihat arwah bernafas kerana terpaksa menahan kesakitan berikutan masalah paru-paru dihidapi. Sepanjang dirawat arwah terpaksa bernafas menggunakan bantuan alat pernafasan walaupun cara itu membuatkan dia merasa sakit.
“Sebelum ini arwah sering batuk tidak henti-henti akibat penyakitnya itu menyebabkan terpaksa dirawat di Hospital Pakar Shah Alam sebelum dirujuk ke PPUM,” katanya.
Menurut Ahmad Jais, jenazah Allahyarham isterinya akan dikebumikan pagi ini di Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam.
Perkongsian hidup arwah dengan Ahmad Jais dikurniakan dua anak perempuan, Maimun, 29, Marshitah, 23, dan empat cucu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan