Selasa, 23 Jun 2009

Huan pertikai prosedur Gerakan gantung keahlian

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Naib Presiden Gerakan, Huan Cheng Guan mendakwa tindakan Jawatankuasa Pusat (CWC) parti itu menggantung keahliannya tiga tahun dan melarang mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan parti tidak mengikut perlembagaan parti.

Huan juga mendakwa beliau tidak dipanggil oleh CWC untuk membuat penjelasan berhubung tindakannya yang secara terbuka mengecam parti dan kepemimpinan, sedangkan beliau ahli CWC parti itu.

“Parti patut telus dan tidak sewenang-wenangnya menggantung keahlian saya tiga tahun. Sepatutnya saya dipanggil untuk perbicaraan.

“Ada dua mesyuarat CWC membincangkan kes ini dan saya tidak dipanggil untuk membela diri sebaliknya pemerhati dibenar mengambil bahagian dalam membuat keputusan menggantung saya,” katanya di lobi Parlimen.

Sabtu lalu, Setiausaha Agung Gerakan, Teng Chang Yeow, dalam kenyataan dilaporkan berkata, penggantungan itu dibuat selepas CWC mempertimbangkan semua fakta tetapi membenarkan keputusan itu dikaji setiap enam bulan.

Berdasarkan perlembagaan parti, Huan berhak mengemukakan rayuan kepada CWC dalam tempoh 14 hari dari tarikh dimaklumkan.

Huan berkata, beliau tidak akan mengemukakan rayuan bagi menarik balik penggantungan keahliannya kerana mendakwa keputusan CWC salah dan mendakwa parti wajar menubuhkan Jawatankuasa Disiplin untuk menyiasat kes beliau.

Sementara itu, dalam kenyataan yang dikeluarkan di Pulau Pinang, Huan mendakwa ada veteran parti itu berusaha membunuh kerjaya politiknya yang mendapat sokongan akar umbi.

Sambil menyifatkan tindakan itu menghalangnya bertanding pada pemilihan parti pada 2011, Huan berkata:

“Saya mengesyaki ada ‘orang tua' dalam parti berusaha bersungguh-sungguh membunuh pemimpin muda yang mendapat sokongan akar umbi bagi memberi laluan kepada 'putera' dan 'puterinya' mengambil alih parti,” katanya.

Sementara itu, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, ketika ditemui selepas Persidangan Petunjuk Prestasi Utama, di sini, enggan mengulas dakwaan beliau mungkir janji untuk hanya menggantung keahlian Huan enam bulan jika bekas Ahli Parlimen Batu Kawan itu memohon maaf.

Tiada ulasan: