Selasa, 2 Jun 2009

Cyberjaya bandar raya dilengkapi CCTV Mers 999

SINAR HARIAN ONLINE


CYBERJAYA – Cyberjaya kini merupakan bandar pertama di Malaysia yang dilengkapi sistem bersepadu kamera litar tertutup (CCTV) dihubung terus kepada Sistem Perkhidmatan Panggilan Kecemasan (Mers) 999.

Sistem MERS 999 merupakan hasil kerjasama yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia, Telekom Malaysia dan Cyberview Sdn Bhd yang membangunkan sistem berkenaan di bawah inisiatif M-Safe yang dikelolakan oleh kerajaan Malaysia.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, dengan adanya sistem berkenaan, tahap keselamatan Cyberjaya akan menjadi sebuah bandar raya yang bebas daripada kegiatan jenayah.

“Sistem MERS 999 ini merupakan projek perintis di bawah program M-Safe dan sistem ini akan mempertingkatkan serta mempercepatkan bantuan kecemasan sampai ke lokasi kejadian.

“Sebagai projek perintis, sebanyak 30 buah kamera CCTV beresolusi tinggi ditempatkan di beberapa tempat strategik di seluruh Cyberjaya.

“Bukti-bukti kecemasan seperti jenayah, kemalangan, kebakaran dan sebagainya dapat dilihat secara real-time oleh pegawai bertugas di Pusat Operasi melalui CCTV serta boleh dirakam untuk tujuan siasatan kelak,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Sistem CCTV Mers 999 di Kompleks Balai Polis Cyberjaya di sini, semalam.

Menurutnya, inisiatif M-Safe adalah lanjutan daripada konsep Bandar Selamat yang diperkenalkan oleh kerajaan yang menggariskan 23 langkah perlu diambil oleh pemaju dan pihak berkuasa tempatan.

Ia bertujuan bagi memastikan persekitaran dalam sesuatu kawasan atau projek pembangunan itu selamat.

“Saya berharap Cyberview Sdn Bhd selaku tuan tanah Cyberjaya dan badan yang bertanggungjawab ke atas segala jenis pembangunan di Cyberjaya untuk meneruskan konsep M-Safe.

“Cyberjaya adalah sebuah banar ICT yang sedang mengalami pembangunan yang amat pesat dan sentiasa di mata dunia disebabkan statusnya sebagai Nukleus MSC Malaysia,” katanya.:

Sidek berkata, sistem tersebut akan dilaksanakan di beberapa kawasan kepadatan penduduk tinggi di seluruh negara pada masa depan.:

Selain mewujudkan persekitaran bebas jenayah pemasangan sistem tersebut turut diharap akan meningkatkan lagi produktiviti pasukan keselamatan negara dalam menguatkuasakan undang-undang dan menjamin keselamatan penduduk sekitar.

Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Kamaruddin Siaraf; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar; Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar dan Naib Presiden Eksekutif Telekom Malaysia Berhad, Datuk Khairul Annuar Mohammed Zamzam.

Tiada ulasan: