MYMETRO
SUNGAI MANIK: “Saya menentang sekeras-kerasnya sebarang usaha membawa balik pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, ke negara ini dan meminta kerajaan menolak permohonannya.
“Tidak ada sebab untuk memberi laluan kepada Chin Peng pulang semata-mata mahu menghabiskan sisa hidupnya sebelum mati dan disemadikan di negara ini,” kata Datuk Mohd Yusof Maidin, 83, adik kepada Pengerusi PKM, Rashid Maidin.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Manik selama tiga penggal sejak 1974 hingga 1986 itu menentang hasrat Chin Peng kembali ke negara ini kerana ia disifatkan sebagai ‘luka lama berdarah kembali’.
“Chin Peng harus sedar dia bukanlah wira negara, kita tidak mahu kehadirannya di negara ini akan menimbulkan perbalahan kaum kelak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Desa Chenderong Balai di sini semalam.
Beliau berkata, abangnya sendiri, Rashid Madin tidak pernah memohon menetap di negara ini selepas PKM dibubarkan sebaliknya memilih menetap dan meninggal dunia di selatan Thailand pada 2006.
“Abang saya hanya pulang ke tanah air beberapa hari kerana menziarahi dan menemui anak-anaknya serta kaum keluarga selepas mendapat izin dari Kementerian Dalam Negeri.
“Kali terakhir Rashid pulang ke tanah air pada 2004 dan berada di rumah saya beberapa hari. Arwah tidak kembali ke negara ini sehinggalah meninggal dunia ketika berusia 89 tahun,” katanya.
Mohd Yusoff yang mempunyai 10 anak, 26 cucu dan tiga cicit yakin Kerajaan Pusat tidak mudah memenuhi rayuan Chin Peng kerana dia pengkhianat negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan