ALOR PONGSU - Seorang warga emas ditemui maut di hadapan pintu rumahnya, dipercayai menjadi mangsa amukan pesakit mental yang tinggal berdekatan rumahnya di Kampung Alor Pongsu, di sini petang semalam.

Mayat mangsa, Shamsuri Hassan, 74, ditemui sepupunya yang tinggal di kampung berhampiran setelah dimaklumkan anak mangsa.

Sepupu mangsa, Muhamad Ibrahim, 60, berkata, dia mengetahui mengenai kejadian itu pada jam 2.30 petang dan bergegas ke rumah mangsa.

Menurutnya, setibanya di rumah berkenaan, dia melihat kepala mangsa cedera malah darah berlumuran di lantai.

“Saya segera melaporkan kejadian itu ke balai polis berhampiran dan menghubungi Klinik Kesihatan Alor Pongsu untuk memeriksa keadaan sepupu saya,” katanya sewaktu ditemui di lokasi kejadian di Kampung Alor Pongsu, di sini semalam.

Muhamad berkata, dia turut dimaklumkan mangsa meninggal dunia akibat dibunuh abang jiran berusia 40-an yang dipercayai mengalami masalah mental.

Sementara itu, adik suspek yang enggan dikenali berkata, abangnya yang merupakan bekas anggota Komando mengalami masalah mental sejak beberapa tahun lalu, sebelum ini tinggal di Ipoh bersama isteri dan anak-anaknya.

Bagaimanapun, menurutnya, sejak beberapa bulan lalu, abangnya sering dirasuk dan meracau, menyebabkan dia membawa abangnya tinggal sebentar di rumahnya di Kulim untuk menjalani perubatan Islam.

“Dalam tempoh dua hari sebelum ini, abang saya sering berkelakuan agresif dan hampir mencederakan saya dengan memukul serta mencekik.

“Pagi tadi, abang saya yang sepatutnya pergi ke Pulau Pinang bersama saya bagi membeli barangan untuk perubatan Islam membawa lari kereta saya ke rumah keluarga kami di sini, dipercayai mahu berjumpa  emak kami," katanya.

Adik suspek berkata, dia kemudian menerima maklumat abangnya bertindak agresif membunuh mangsa yang sebenarnya mempunyai hubungan rapat dengan mereka sekeluarga.

Jelasnya, di sebalik masalah ‘rasukan’ dialami, abangnya itu sebenarnya seorang yang penyayang dan sangat menghormati mangsa yang dianggapnya sebagai bapa kandung.

“Saya tidak mengetahui punca sebenar mangsa dibunuh oleh abang saya memandangkan dia (suspek) sebelum ini sering menziarahi mangsa setiap kali pulang ke rumah emak,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, mangsa yang merupakan pesara kerajaan baharu kematian isteri tiga bulan lalu dan tinggal bersama tiga anak yang masih bujang.

Katanya, mangsa ditemui mati dalam keadaan tertiarap, tidak berbaju dan memakai kain pelikat.

“Setakat ini, kami sudah menahan seorang pesara tentera berusia 42 tahun yang dipercayai suspek kejadian.

“Motif kejadian masih dalam siasatan polis dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.