Jamil Khir Baharom Jamil Khir Baharom semasa sidang media pada Majlis Perasmian Muktamar Ulama Ahli Sunnah WalJamaah yang bertemakan 'Mengenal Hakikat Ahli Sunnah WalJamaah' di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
 
 
 
PUTRAJAYA - ‎Mana-mana individu yang mahu mengajar agama di negara ini perlu mendapat tauliah bagi mengelakkan penyebaran ajaran yang terkeluar dari garis panduan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan di negara ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, dunia yang penuh dengan kemodenan mampu mengheret pandangan atau ajaran yang lari dari ajaran Islam sebenar.

"Sebab itu kemasukan-kemasukan dari luar. Apabila saya jumpa anak-anak Mesir di Jordan dan terbaharu di Dubai dan beberapa buah negara lain, mereka tanyakan kenapa apabila pulang ke Malaysia, perlu ada tauliah mengajar sedangkan mereka sudah menimba banyak ilmu?

"Sebab itu saya terangkan kembali ialah kita nak pastikan supaya yang datang itu...kita tidak menolak anak-anak yang balik dari luar negara dengan kekuatan ilmu yang mantap tetapi pada masa sama kita tidak mahu di celah-celah itu, ada kemasukan-kemasukan yang tak dapat kita bendung," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah Sedunia, Malaysia 2015 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan tauliah tersebut penting dan mana-mana yang mengajar tanpa tauliah boleh dikenakan tindakan.

"Oleh sebab itu, tauliah tersebut menjadi salah satu mekanisme untuk kita nak memastikan mereka yang datang itu tidak terkeluar dari garis panduan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"...dan boleh diambil tindakan kepada mereka yang tidak mempunyai tauliah tersebut,"katanya.

Sebelum ini, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin dilaporkan mengakui pihaknya tidak dapat menapis semua kemasukan penceramah luar ke negara ini kerana tidak semua majlis agama negeri mengemukakan nama penceramah‎ yang dijemput.

Hingga pernah berlaku beberapa individu yang tidak dibenarkan menyampaikan ceramah agama‎ di negara-negara Arab dan beberapa negara barat tetapi memberi ceramah di negara ini.