Isnin, 11 Mei 2015

Skandal 1MDB-Tabung Haji: Najib digesa letak jawatan Menteri Kewangan

Lim Guan Eng

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: DAP mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya segera bersuara dan memberikan respon terhadap permintaan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan tindakan diambil terhadap pihak yang terlibat dalam skandal hutang RM42 bilion 1MDB.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menegaskan, Najib mesti terbuka, telus dan bertanggungjawab mengenai skandal ini kerana ia melibatkan dana awam dalam jumlah yang besar.

“Muhyiddin telah berkata bahawa beliau tidak tahu apa yang hendak dikatakan, bahkan mengenal pasti 1MDB sebagai salah satu punca kekalahan UMNO dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh baru-baru ini,”

“Rakyat Malaysia tidak kagum dengan pertunjukan silap mata dana 1MDB yang lesap, malah lebih menaikkan kemarahan umat Islam pula adalah bagaimana Lembaga Tabung Haji (LTH) turut terlibat dengan skandal tersebut dengan membeli tanah di Tun Razak Exchange daripada 1MDB,”

“Najib harus mengadakan sidang media bersama Muhyiddin untuk menjawab pertanyaan serius yang dibangkitkan oleh timbalannya itu tentang mengapa tidak ada siapa yang didakwa, mengapa Lembaga 1MDB tidak dipecat dan kedudukan beliau selaku Penasihat 1MDB,”

“Sebarang kegagalan untuk berbuat demikian bukan saja akan merosakkan kredibiliti dan integriti yang masih ada pada Najib, malah akan menimbulkan krisis dalaman berikutan cabaran terbuka daripada Muhyiddin kepadanya,” tegas Guan Eng.

Ketua UMNO Bahagian Kulim Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir dalam wawancaranya bersama portal The Malaysian Insider pagi tadi telah mengatakan bahawa sudah tiba masanya untuk Najib bertanya kepada dirinya sendiri apakah beliau seorang ‘calon boleh menang’ selepas pentadbirannya dihujani pelbagai kritikan termasuk kontroversi 1MDB melibatkan Tabung Haji.

Justeru, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan mendesak Najib untuk melepaskan jawatannya sebagai Menteri Kewangan agar beliau dapat memberikan tumpuan kepada tugas selaku Perdana Menteri.

“Najib perlu bertanggungjawab sepenuhnya berhubung pengendalian skandal 1MDB dengan melepaskan jawatan sebagai Menteri Kewangan untuk menumpukan perhatian kepada tugas sebagai Perdana Menteri.

“Kegagalan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan hanya akan menambah tekanan kepada beliau untuk melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri,” ujarnya. -Roketkini.com


Tiada ulasan: