Jumaat, 15 Mei 2015

Sabah, kerajaan pusat rugi berbilion ringgit kerana rasuah, kata SPRM

THE MALAYSIAN INSIDER

Sebanyak 1,632 akaun bernilai RM560 juta dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini dalam operasi bersepadu membanteras kegiatan rasuah, penyelewengan diesel bersubsidi dan penyeludupan rokok dan arak di Sabah, melibatkan kerugian berbilion ringgit kepada kerajaan persekutuan dan kerajan negeri Sabah.

Menurut Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohamad Jamidan Abdullah, serbuan tersebut dilakukan hasil siasatan terperinci dan menyeluruh berdasarkan maklumat perisikan bersama agensi lain yang terlibat.

"Dalam serbuan itu, ia turut melibatkan rampasan wang tunai barang kemas bernilai lebih RM1 juta.


"Adalah dipercayai bahawa perlakuan rasuah ini telah mengakibatkan kerugian sebanyak berbilion ringgit kepada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sabah," katanya.

 Serbuan dilakukan serentak ke atas 43 lokasi di Tawau, Sandakan, Keningau, Kota Kinabalu, Labuan dan Semporna yang disyaki wujud rasuah, penyeludupan rokok dan arak dan penyelewengan diesel bersubsidi, serta perbuatan mengelak cukai, katanya.

Operasi itu melibatkan sekurang-kurangnya 420 orang pegawai dan anggota diketuai SPRM dengan kerjasama pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Pasukan Gerakan Am, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia.

Siasatan lanjut akan dijalankan di bawah seksyen 17(a) dan 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Pada 12 Mei, SPRM dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan persekutuan dan negeri melancarkan serbuan ke atas 49 lokasi di seluruh Sarawak bagi membanteras kegiatan rasuah, pembalakan  dan penebangan hutan secara haram.

Operasi dinamakan "Ops Gergaji" itu membekukan sebanyak 519 akaun syarikat dan individu bernilai hampir RM700 juta.

Tiada ulasan: