Isnin, 18 Mei 2015

Rafizi bengang dua soalan untuk Najib ditolak

 
Rafizi tidak boleh menerima alasan penolakan dua soalan oleh Dewan Rakyat yang disifatkannya tidak masuk akal.


Rafizi Ramli, 1MDB, Parliament, Najib Razak


KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, bengang apabila dua soalan yang dikemukakan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak ditolak oleh Dewan Rakyat.

Dia bertanyakan kepada Perdana Menteri mengenai harga tanah di Tun Razak Exchange (TRX) yang dijual kepada 1MDB dan dibangkitkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Pandan itu juga bertanyakan adakah Najib setuju dakwaan Dr Mahathir bahawa beliau akan menyebabkan UMNO kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dewan Rakyat menolak soalan itu dengan alasan pertanyaan tidak boleh bertujuan mendapat buah fikiran (pandangan) atau mendapat penjelasan dengan perkara atau undang-undang yang belum menjadi masalah (undang-undang belum dipersetujui) atau hendak mendapat jawapan dalam perkara yang dimisal-misalkan sahaja (perkara berdasarkan andaian).

Rafizi yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, alasan itu tidak boleh diterima kerana tidak masuk akal.

“Penolakan itu tidak masuk akal. Saya tidak boleh terima. Sudah tentu bila kita tanya, kita mahu tahu buah fikiran Perdana Menteri. Kalau tidak boleh, lebih baik Dewan Rakyat ini ditutup,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen pada Isnin.

Katanya, Perdana Menteri perlu membuat penjelasan di Parlimen supaya rakyat mendapat penjelasan yang tepat.

“Bila tampil beri penjelasan di luar, Najib boleh cakap apa yang beliau suka dan syok sendiri.
“Bila perkara ini dijawab di Parlimen, beliau tidak boleh menipu kerana ada undang-undang,” katanya.

Tiada ulasan: