KUALA LUMPUR - PR hari ini sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Penambahbaikan Parlimen PR.

PR juga bersetuju untuk menubuhkan sebuah lagi jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Rancangan Malaysia Ke-11.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, penubuhan jawatankuasa ini dibuat memandangkan wujudnya aspirasi yang sama bagi prinsip pemisahan kuasa antara badan legislatif, eksekutif dan kehakiman.

"Jawatankuasa ini diketuai oleh saya dan dianggotai ketua-ketua whip serta seorang ahli parlimen mewakili setiap parti.

"Malah sebuah Jawatankuasa Rancangan Malaysia ke-11 PR juga telah dipersetujui ditubuhkan," katanya pada dalam sidang media di lobi parlimen, semalam.

Dr Wan Azizah berkata pihaknya menyambut baik kenyataan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bahawa parlimen yang tidak mahu parlimen dilihat sebagai 'Rubber Stamp' yang berfungsi dibawah telunjuk cabang eksekutif.

"Diharapkan tugas legislatif ahli parlimen PR akan lebih berkesan dan memenuhi tanggungjawab serta amanah rakyat," katanya.

Sementara itu Ketua Whip Pas, Datuk Mahfuz Omar dalam sidang media sama berkata, kuasa Speaker dilihat terbatas.

"Jawatan Menteri Hal Ehwal Parlimen yang disandang oleh Datuk Seri Shahidan Kassim menyebabkan Speaker tidak bebas dan setiap keputusan dibuat dipengaruhi oleh menteri berkenaan.

Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan turut menyokong cadangan yang dilontarkan oleh Pandikar berhubung usaha meningkatkan fungsi dan integriti institusi parlimen.

"Beliau telah mencadangkan untuk mewujudkan beberapa lagi jawatankuasa khas kecil parlimen, peruntukan masa khas sesi soal jawab bersama anggota kabinet terutamanya perdana menteri dan mengkaji semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963.

"Ini adalah masa yang sesuai untuk semua pihak legislatif untuk turut sama melontarkan pelbagai cadangan konstruktif bagi mereformasikan institusi parlimen di Malaysia. Malah penglibatan sokongannya perlu lebih luas bagi menggambarkan konsensus dan representasi rakyat," katanya.

Nasrudin turut berharap selepas sidang mesyuarat pada kali ini, satu jawatankuasa tanpa mengira parti dapat dibentuk bagi mengangkat agenda reformasi parlimen daripada pelbagai aspek.

"Sebagai contoh, konsep mengutamakan urusan kerajaan berbanding pembangkang. Usul-usul seperti usul penangguhan dan usul persendirian daripada pihak kerajaan seringkali didahulukan sehinggakan pihak pembangkang tidak berpeluang untuk membawa usul-usul tersebut.

"Begitu juga dengan peruntukan masa 90 minit dan keberkesanan sesi soal jawab lisan. Setiap hari hampir 70 soalan yang telah disenaraikan dalam kertas Aturan Urusan Mesyuarat, namun, secara purata hanya tujuh soalan sahaja yang boleh dijawab secara lisan manakala selebihnya dijawab secara bertulis," katanya.