Selasa, 19 Mei 2015

PR catat rekod, 2 kali wanita sama

Oleh: NAZLI IBRAHIM


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat (PR) yakin Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mampu menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang.

Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin (PAS) berkata, hal itu berikutan pengalaman Dr Wan Azizah yang pernah dilantik sebagai Ketua Pembangkang sebelum ini.
hanipa maidin
“Ini bukan perkara baru bagi beliau. Sebelum ini juga pernah dilantik sebagai Ketua Pembangkang.

“PAS yakin pengalaman beliau akan membantunya menjalankan tanggungjawab yang dipikul nanti,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata, ia juga sejarah pencapaian untuk kaum wanita apabila golongan itu diangkat sebagai Ketua Pembangkang buat kali ke-2.

“Perkara seperti ini tidak berlaku dalam Barisan Nasional (BN) tidak kira di peringkat persekutuan atau negeri di bawahnya. Ia termasuk negeri pimpinan pembangkang,” katanya.
tony-pua
Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua (DAP) pula berharap kesepaduan PR di peringkat Parlimen semakin kukuh bagi melawan hujah yang dikemukakan BN.

“Kekuatan hujah Ahli Parlimen PR akan menunjukkan kualiti yang dimiliki,” katanya.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok pula menganggap perlantikan itu sebagai kejayaan yang perlu dibanggakan kaum wanita.

“Tahniah kepada beliau. Sebagai wanita, memang kami sangat bangga dan saya yakin beliau mampu menjalankan tugasnya dengan berkesan terutama dengan sokongan semua Ahli Parlimen PR,” katanya.-NFN-


Tiada ulasan: