SINAR HARIAN

 
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) mempunyai sejumlah RM1.4 bilion pelaburan dalam syarikat pelaburan strategik kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), setakat 31 Mac lepas.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata pelaburan itu dibuat melalui empat anak syarikatnya iaitu Bandar Malaysia Sdn Bhd, IMDB Energy Limited, IMDB Global Investment Limited dan Jimah Energy Ventures Bhd (JEV).

Najib berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Mohd Rafizi Ramli (PKR-Pandan) yang meminta penjelasan berhubung pelaburan dan pegangan (ekuiti, bon pinjaman dan lain-lain) oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP dalam 1MDB dan anak-anak syarikatnya (termasuk bekas anak syarikat iaitu SRC International Sdn. Bhd setakat 31 Mac 2015.

[ARTIKEL BERKAITAN: PNB pula penyelamat 1MDB, kata Rafizi]

Dalam jawapan berkenaan, Najib juga menyatakan KWSP telah melanggan bon terbitan 1MDB berjumlah RM200 juta pada tahun 2009 dan ia dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.

"Selain itu, KWSP turut mempunyai pendedahan pelaburan terhadap anak-anak syarikat 1MDB iaitu Panglima Power Sdn Bhd (PPSB) dan Jimah Energy Ventures Sdn Bhd yang berjumlah RM1.52 bilion.

"Penglibatan pelaburan KWSP dalam anak-anak syarikat tersebut berlaku pada tahun 2003 (PPSB) dan 2005 (JEV) iaitu sebelum pengambilalihan oleh 1MDB ke atas PPSB dan JEV, masing-masing pada tahun 2012 dan 2014," katanya. - Bernama