Nur Fitri 'sakit' dan perlu pemulihan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim (hadapan, kiri) bergambar bersama kakitangan Restoran McDonald's selepas pelancaran Program Buku Happy Meal di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama
 
 
 
PETALING JAYA - Nur Fitri Azmeer Nordin, pelajar Malaysia yang dikenakan hukuman penjara lima tahun oleh mahkamah di London kerana memiliki imej dan gambar porno kanak-kanak disifatkan sebagai seorang yang 'sakit' dan memerlukan pemulihan.
  
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata pelajar tajaan Mara itu telah melakukan jenayah yang hina dan serius.
  
“Kita sangat terkilan dengan apa yang telah dilakukan oleh pelajar tersebut kerana ia sudah tentunya mencemarkan nama baik negara.
  
“Dalam aspek itu dia sakit. Dia perlukan bantuan dan perlu menjalani pemulihan, kaunseling, rawatan dan pemerhatian psikiatri," katanya dan menambah pelajar itu tidak boleh dibiarkan bebas dalam kalangan masyarakat.
  
Beliau berkata demikian selepas merasmikan buku program 'Mcdonald's Happy Meal' di premis Mcdonald's, Kota Damansara di sini hari ini.
 
Rohani berkata kementeriannya sanggup memulihkan Nur Fitri Azmeer, 23.

"Kita mempunyai kaunselor terlatih. Ia bukan sahaja untuk Nur Fitri (Azmeer) tetapi buat keluarganya yang juga trauma," katanya.
  
Pelajar Imperial College London itu dijatuhkan hukuman setelah mengaku bersalah atas 17 kesalahan memiliki bahan pedofilia dengan niat untuk mengedarkannya.
  
Dia akan dihantar pulang ke Malaysia selepas selesai menjalani hukuman.

Mengenai penggunaan tempat duduk bayi dalam kereta bagi mengelak kematian bayi semasa kemalangan, Rohani berkata kementeriannya menggalakkan ibu bapa menyediakan sekurang-kurangnya satu tempat duduk bayi.
  
"Kita perlu ambil iktibar daripada apa yang berlaku baru-baru ini (kemalangan di Lebuhraya Duke dan Lebuhraya Utara-Selatan di Johor Bahru). Kita labur sekali sahaja untuk beli satu tempat duduk kanak-kanak dan selepas itu ia boleh digunakan turun temurun untuk anak-anak yang lain," katanya.
  
Beliau berkata walaupun belum terdapat undang-undang atau peraturan mengenainya, ibu bapa perlu mengambil tanggungjawab bagi memastikan keselamatan anak-anak mereka.
  
Mengenai program Happy Meal itu, katanya ia adalah usaha baik untuk menggalakkan anggota keluarga untuk bersama dan menikmati keseronokan membaca. – Bernama