Isnin, 11 Mei 2015

NGO anti rasuah gesa PAC siasat 1MDB secara terbuka

THE MALAYSIAN INSIDER


Pengarah Eksekutif C4 Cynthia Gabriel berkata, dengan mendedahkan kepada umum rancangan siasatan PAC, ia langkah pertama ke arah ketelusan sebenar. – Gambar fail The Malaysian Insider, 11 Mei, 2015.Pengarah Eksekutif C4 Cynthia Gabriel berkata, dengan mendedahkan kepada umum rancangan siasatan PAC, ia langkah pertama ke arah ketelusan sebenar. – Gambar fail The Malaysian Insider.



 Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) menggesa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) melakukan siasatan terbuka terhadap syarikat pelaburan bermasalah milik Kementerian Kewangan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mengalu-alukan pengumuman PAC yang satu siasatan bebas akan dijalankan ke atas 1MDB, pengarah eksekutif C4 Cynthia Gabriel berkata, dengan mendedahkan kepada umum rancangan siasatannya, ia langkah pertama ke arah ketelusan sebenar.

"Skop siasatan PAC terhadap 1MDB mesti dijelaskan dan disiarkan. Sekarang masa kritikal, dan harapan tinggi untuk siasatan ketua audit negara.


“Siasatan PAC terhadap 1MDB perlu dibuka kepada umum. Ia akan memberikan keterbukaan, meningkatkan kesedaran umum dan meningkatkan penyertaan dalam hal ehwal pentadbiran negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 PAC hari ini mengesahkan laporan The Malaysian Insider, ia akan memulakan prosiding siasatan terhadap 1MDB mulai 19 Mei ini dengan memanggil Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Rahmat Bivi Abdullah.

Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed dalam satu kenyataan hari ini berkata, pada 26 Mei, PAC akan memanggil ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB ketika ini, Arul Kanda Kandasamy serta mantan CEO 1MDB pertama, Datuk Shahrul Ibrahim Halmi yang berkhidmat sejak Mac 2009 hingga Mac 2013.

Jawatankuasa di bawah Parlimen itu katanya, bersetuju memulakan prosiding siasatan terhadap 1MDB dalam satu perbincangan khas yang diadakan pada 30 April lalu.

“Dalam perbincangan ini, semua ahli PAC yang terdiri daripada 8 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) serta 5 daripada pembangkang sebulat suara bersetuju memanggil semua pihak terbabit dalam pengurusan kawalan tadbir urus syarikat 1MDB sejak ia mula ditubuhkan pada 2009, selepas ditukar fungsi daripada Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA)," kata Nur Jazlan.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, PAC juga akan memulakan prosiding dengan memanggil pegawai pengawal syarikat 1MDB iaitu Irwan dan Rahmat yang pernah hadir memberikan keterangan kepada jawatankuasa itu pada 2012.

Nur Jazlan berkata, surat panggilan kepada kementerian kewangan dan EPU sudah dihantar pada 6 Mei lalu dan mengikut peraturan dan kuasa yang diberikan kepada PAC oleh Parlimen Malaysia, semua pihak berkaitan perlu hadir di hadapan jawatankuasa itu.

Katanya, EPU ada menghantar surat balas kepada PAC Jumaat lalu, memaklumkan unit berkenaan tidak bertanggungjawab terhadap tadbir urus syarikat 1MDB.

Beliau bagaimanapun berkata, PAC tetap mahu EPU hadir memberikan keterangan di hadapan jawatankuasa berkenaan kerana mereka pernah hadir sebelum ini bagi menjelaskan mengenai pelaburan 1MDB selain turut bertanggungjawab terhadap pembangunan tanah Tun Razak Exchange (TRX) serta Bandar Malaysia, Sungai Besi.

Tiada ulasan: