Khamis, 14 Mei 2015

Najib, terangkan pada semua bukan UMNO saja, kata Pas

 
Rakyat selaku penyumbang pendapatan kepada negara berhak diberikan penjelasan kerana krisis yang melanda 1MDB memberi kesan langsung kepada status kewangan negara .


Mohd-Khairuddin_najib_600


PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak wajar menerangkan isu-isu yang dikaitkan dengannya terutama 1MDB di Parlimen bagi memulihkan mandat beliau sebagai Perdana Menteri.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin at-Takiri berkata, jika Najib boleh memberi perjelasan kepada Ketua-ketua UMNO Bahagian, maka wajar beliau juga membuat perjelasan di Parlimen untuk seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, tindakan itu wajar kerana Najib merupakan Perdana Menteri untuk semua rakyat bukan untuk ahli UMNO sahaja.

“Kalaulah Najib melihat ada kewajaran memberikan penjelasan kepada Ketua-ketua UMNO Bahagian bagi memulihkan mandat UMNO terhadap beliau sebagai Presiden, maka bagi memulihkan mandat beliau sebagai Perdana Menteri pula amat wajar sekali jika Najib menjelaskan isu ini di Parlimen,” katanya.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, tidak dinafikan hak UMNO untuk memberikan penjelasan kepada ahlinya berkenaan isu-isu yang dikaitkan dengan Najib selaku Presiden parti.

Namun, katanya, Najib merupakan Perdana Menteri Malaysia dan 1MDB adalah milik Kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Kewangan yang mana Najib juga adalah Menterinya.

“Lainlah jika UMNO berpendirian bahawa harta dan wang Kerajaan adalah milik UMNO,” katanya.

Khairuddin berkata, rakyat berhak diberikan penjelasan itu kerana krisis yang melanda 1MDB memberi kesan langsung kepada status kewangan negara dan rakyat sebagai pembayar cukai adalah antara penyumbang terbesar pendapatan negara.

“Tidak cukup dengan siasatan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Ketua Audit Negara sahaja, Najib mesti jelaskan isu ini di Parlimen,” katanya.

Tiada ulasan: