Isnin, 18 Mei 2015

Kerajaan kaji OKU, mahasiswa dikecualikan GST

 
Menurut Ahmad Maslan , Malaysia merupakan negara yang memberi paling banyak pengecualian GST jika dibandingkan dengan negara lain yang melaksanakan cukai ini.


maslan,gst,oku,pelajar


KUALA LUMPUR: Selepas lebih sebulan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksana, kerajaan menyatakan sedia mengkaji cadangan untuk mengecualikan Orang Kelainan Upaya (OKU) daripada cukai itu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, cadangan itu juga mengecualikan GST terhadap mahasiswa dan golongan termiskin.

Bagaimanapun, katanya, golongan termiskin yang mendaftar dengan E-kasih sahaja akan menikmati pengecualian itu yang melibatkan barangan mentah dan makanan asas.

Katanya, langkah itu bagi mengurangkan kesan GST terhadap golongan berpendapatan rendah dan kurang bernasib baik.

“Kita merupakan negara yang memberi paling banyak pengecualian GST jika dibandingkan dengan negara lain yang melaksanakan cukai ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.

Ahmad Maslan berkata, kerajaan akan terus memperhebatkan penguatkuasaan ke atas peniaga yang melakukan penyelewengan harga bagi memastikan harga barangan stabil seperti sepatutnya setelah ditolak Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Sekarang ini yang berlaku ialah peniaga tidak menolak SST dan menambah GST, menjadikan harga yang sepatutnya turun atau kekal menjadi naik.

“Ini bukan salah GST tetapi salah peniaga, ini yang buat pengguna marah. Kita harap dalam jangka masa enam bulan sehingga setahun, harga ini akan kembali stabil seperti yang kita jangka,” katanya.

Setakat 10 Mei, Jabatan Kastam Diraja Malaysia menerima 4,849 aduan mengenai kesalahan GST dan Anti Pencatutan, 13 kertas siasatan dibuka yang mana 11 sedang siasat dan 44 kes akan dibawa ke mahkamah.

Tiada ulasan: