KUALA LUMPUR - Cubaan Pas Pusat untuk menghantar memorandum kepada Kedutaan Mesir sebagai membantah hukuman bunuh ke atas bekas Presiden Mesir, Mohamed Mursi, ulama tersohor dunia, Dr Yusuf al-Qardhawi dan lebih 100 pejuang Islam lain gagal.

Ini kerana, tiada seorang pun wakil daripada kedutaan berkenaan yang keluar untuk menerima memorandum bantahan yang dihantar oleh wakil Pas, semalam.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, kegagalan wakil kedutaan Mesir untuk menerima memorandum tersebut membuktikan kerajaan negara tersebut tidak ambil kisah dengan suara negara Islam terutama sekali Malaysia.

“Kami sangat kecewa dengan apa yang dilakukan oleh kedutaan Mesir. Tindakan ini seolah-olah Mesir ingin menunjukkan kekuatan rejim mereka ini telah sampai ke bumi Malaysia.

“Sepatutnya, pihak kedutaan menerima memorandum tersebut. Memorandum ini mewakili suara yang ingin disampaikan oleh rakyat Malaysia terhadap hukuman yang dikenakan ke atas pejuang Islam di sana,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau mendesak kerajaan Malaysia melakukan tekanan diplomatik terhadap kerajaan Mesir supaya hukuman bunuh itu dibatalkan.

“Pas juga ingin menyeru semua negara Islam  mendesak kerajaan negara itu untuk menarik kembali hukuman tersebut,” katanya.

Nik Abduh berkata, Pas tidak mengiktiraf kerajaan Mesir sedia ada kerana kerajaan yang dipimpin oleh Mursi dijatuhkan oleh mereka.

“Bagaimana kita mahu mengesahkan kerajaan terkini Mesir sedangkan mereka membunuh rakyatnya sendiri. Kerajaan yang dipimpin Mursi adalah kerajaan yang sah dan diterima oleh seluruh dunia,” katanya.

Beliau meminta seluruh masyarakat Islam melakukan solat hajat supaya Mursi dan pejuang Islam yang terbabit sentiasa dilindungi ALLAH serta diberikan kekuatan untuk memperjuangkan Islam di negara berkenaan.

Kira-kira 100 orang yang terdiri daripada ahli Pas dan orang ramai mula berkumpul di hadapan Kedutaan Mesir di Jalan Ampang Hilir kira-kira jam 10 pagi untuk menyertai upacara penyerahan memorandum itu.

Apabila memorandum itu tidak diterima, mereka berhimpun secara aman di hadapan kedutaan sebagai tanda kecewa sebelum bersurai kira-kira jam 11 pagi.