Rabu, 13 Mei 2015

JAWI tarik balik kes terhadap Borders

MALAYSIAKINI


 


Tiga tahun selepas pengurus kedai Borders Nik Raina Nik Abdul Aziz didakwa, Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) menarik balik kes itu ekoran ancaman berdepan dengan prosiding menghina mahkamah.

JAWI, dalam sepucuk surat bertarikh hari Isnin, bersetuju untuk menarik balik tindakannya dan rayuannya terhadap pembebasan Nik Raina di Mahkamah Rayuan Syariah.

Surat Jawi ditandatangani oleh ketua pendakwanya,  Mohamad Adib Husain dan salinan surat itu dihantar kepada Mahkamah Syariah semalam. Malaysiakini melihat salinan surat yang dihantar itu.

Dilaporkan bahawa pada hari Sabtu, Borders, melalui peguamnya dari firma Lee, Hishammuddin Allen Gledhill, telah mengancam untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap ketua pengarah JAWI dan ketua pendakwanya.

Peguam Borders menegaskan ia ekoran tindakan JAWI yang tidak mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi sivil dan Mahkamah Rayuan yang meminta mereka menghentikan tindakan undang-undang mereka dan menggugurkan pertuduhan terhadap Nik Raina.

Peguam kedai buku itu menghantar surat tersebut kepada JAWI pada 5 Mei.

Sebelum ini dalam surat guamannya, Borders memberi amaran bahawa JAWI boleh didapati menghina kedua-dua perintah Mahkamah Tinggi pada 22 Mac 2013 dan perintah Mahkamah Rayuan bertarikh 30 Disember 2014.

Ini ekoran semakan kehakiman yang difailkan oleh Nik Raina, dan pengurus besar operasi dan barangan Borders, Stephen Fung Wye Keong, yang mengisytiharkan bahawa serbuan dan rampasan buku itu adalah salah.


Nik Raina dituduh menjual buku 'Allah, Liberty and Love" tulisan pengarang Kanada, Kanada Irshad Manji, pada 23 Mei 2012 di kedai buku itu di Gardens Mall.

Bagaimanapun, buku ini hanya diwartakan sebagai diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri enam hari kemudian.

Kerana JAWI tidak boleh mendakwa sesebuah syarikat atau bukan Islam, maka Nik Raina menjadi mangsa keadaan dan didakwa oleh pihak berkuasa Islam itu.

Nik Raina, ketika dihubungi Malaysiakini berkata beliau hanya mendapat tahu JAWI menarik balik kes terhadapnya petang ini.

"Saya menitiskan air mata dan pada mulanya tidak percaya bahawa selepas tiga tahun, mereka telah bersetuju untuk menghentikan kes itu."

"Saya ingin berterima kasih kepada Berjaya Group terutama pengerusi dan CEO Robin Tan kerana banyak mengeluarkan duit untuk kes ini dan juga ketua pegawai operasi saya Yau Su Peng, dan peguam Rosli Dahlan," kata beliau.

Nik Raina berkata beliau telah menyampaikan berita gembira itu kepada keluarganya dan mereka juga pada mulanya sukar untuk mempercayainya tetapi bersyukur pengalaman pahit itu sudah berakhir.
 
 

Tiada ulasan: